KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Hasrat jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang untuk mara ke suku akhir acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, tidak kesampaian selepas tersingkir pada pusingan kedua, hari ini.
Azizulhasni, yang menentang pelumba Australia, Thomas Cornish pada saringan keempat tersingkir gara-gara tindakannya yang mahu memotong pesaing ketika perlumbaan berbaki separuh pusingan pada saingan berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy, sekali gus menyaksikan penyertaannya dibatalkan.
Sebaliknya Cornish diberi kemenangan.
“Selepas melepasi selekoh terakhir saya secara tidak sengaja termasuk sedikit ke bawah ke dalam line pihak lawan.
“Berbeza dengan masuk atau menghimpit dengan sengaja, saya yang tersedar ketika hilang kawalan terus cepat-cepat keluar tanpa memberi apa-apa halangan dan membahayakan pihak lawan,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram.
Walaupun pihak komisar pertandingan menerima hujah pihaknya bahawa beliau tidak sengaja dan tidak bersalah ketika perlumbaan, namun pemenang perak Sukan Olimpik 2020 tetap terkilan dengan keputusan mereka yang memilih untuk mengekalkan pembatalannya. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/Capture-6-1024x680.jpg)
Ikuti berita lanjut dalam Edisi Ahad (Media Permata)