Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyertaan BICTA 2025 kini dibukakan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB) akan menganjurkan pertandingan Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2025, yang kini penyertaannya sedang dibukakan sehingga 30 Jun.

    Pertandingan tersebut adalah salah satu usaha berterusan untuk merangsang inovasi teknologi digital dan kreativiti dalam kalangan individu, pelajar dan organisasi awam dan swasta, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat permulaan.

    Penyertaan bagi BICTA 2025 itu terus mengekalkan tema dari tahun-tahun sebelumnya iaitu Negara Pintar Melalui Transformasi Digital.

    Tema itu mencerminkan haluan dalam mendukung aspirasi dan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dengan BICTA 2025 mempertandingkan 10 kategori.

    Kategori-kategori yang dipertandingkan ialah Kategori Utama iaitu Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan, Perindustrian serta Awam dan Kerajaan, Kategori Sekolah iaitu Sekolah Rendah bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 4 ke Tahun 6, Sekolah Menengah bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 7 ke Tahun 11 dan Pengajian Tinggi bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 12 hingga peringkat mahasiswa serta Kategori Silang iaitu Pemula, Penyelidikan dan Perkembangan dan Teknologi.

    Gambar Pexel

    Tertakluk kepada kelayakan, mana-mana penyertaan dalam Kategori Utama kecuali Kategori Sekolah, dibolehkan juga untuk menyertai salah satu daripada Kategori Silang yang bersesuaian dengan produk yang dipertandingkan.

    BICTA 2025 turut mengetengahkan lima Anugerah Negara Pintar khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi, Negara Pintar Melalui Transformasi Digital, bagi meningkatkan kualiti hidup, perkhidmatan awam, pendidikan, keselamatan, mobiliti orang ramai dan untuk mencapai kelestarian alam sekitar dalam lima sektor tertentu iaitu Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik dan Pengangkutan serta Pendidikan.

    Semua sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi, individu, PMKS, agensi kerajaan dan badan-badan organisasi yang mempunyai produk-produk ICT adalah dialu-alukan untuk menyertai BICTA 2025.

    Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang penyertaan boleh mendapatkannya di laman sesawang BICTA, www.bicta.gov.bn dengan tarikh akhir bagi penghantaran penyertaan ialah 30 Jun 2025.

    Bagi maklumat lanjut, pihak-pihak yang berminat boleh menghubungi Urusetia BICTA melalui e-mel, bicta@aiti.gov.bn atau menghubungi talian, 2323232.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda