Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Anugerah ICT Brunei (BICTA) sejak diperkenalkan pada 2004, telah menjadi wadah penting dalam menggalakkan persaingan sihat serta inovasi ICT dalam kalangan individu, pelajar dan organisasi sama ada daripada sektor awam mahupun swasta.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2025 yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong, hari ini.

Beliau menerangkan lagi bahawa kejayaan Negara Brunei Darussalam menganjurkan acara Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards 2024, turut menjadi satu pencapaian yang amat bermakna kerana bukan sahaja berjaya memperkukuhkan kedudukan negara di peringkat serantau tetapi turut memberikan inspirasi untuk terus meningkatkan mutu penganjuran BICTA pada masa-masa mendatang.
Pada 2025, BICTA mempertandingkan 10 kategori iaitu 7 kategori utama dan 3 kategori silang, ulasnya lagi.
Beliau berkata BICTA 2025 dengan tema Negara Pintar melalui Transformasi Digital bukan sahaja menekankan kepentingan inovatif dan penerokaan teknologi baharu, malah sejajar dengan usaha negara dalam membina ekosistem digital yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Mengulas mengenai penyertaan bagi BICTA 2025, Ir Haji Mohammad Nazri berkata ia mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dengan sebanyak 180 penyertaan iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding 159 penyertaan pada 2024.
Sambutan yang menggalakkan itu, jelasnya, mencerminkan semangat untuk terus berinovasi, memperkukuh kemahiran digital serta menyesuaikan diri dengan cabaran era digital yang serba dinamik dan kompetitif.
“Justeru, BICTA bukanlah hanya sekadar sebuah pertandingan tahunan, tetapi adalah merupakan platform strategik untuk memupuk bakat tempatan, memperluas jaringan kolaborasi, dan merangsang pertumbuhan inovasi digital yang berimpak tinggi bagi kemajuan negara.”

