BUDAPEST, 13 OKT – Maraton Budapest ke-40 yang berlangsung kelmarin telah mencatatkan rekod baharu apabila menarik penyertaan lebih 40,000 peserta dari 119 negara dan wilayah, menurut kenyataan penganjur.
“Acara tahun ini merupakan perhimpunan sukan terbesar yang pernah diadakan di Hungary,” kata ketua penganjur, Arpad Kocsis.
Beliau berkata seramai 9,000 peserta datang dari luar negara, dengan 9,352 pelari menamatkan larian dan disenaraikan dalam keputusan rasmi.
“Budapest kini benar-benar setanding dengan bandar utama Eropah dalam arena larian maraton,” katanya.
Dalam kategori lelaki, pelari Hungary menguasai dua tempat teratas apabila Mate Vasarhelyi muncul sebagai juara dengan catatan masa dua jam 22 minit 17 saat, diikuti oleh Bence Vitarius (2:27:37), manakala tempat ketiga dimenangi pelari Poland, Jakub Galasiewicz (2:34:16).
Bagi kategori wanita, pelari Hungary, Viktoria Nyikos menjuarai acara dengan masa 2:50:28, diikuti Caoimhe Nic Fhogartaigh dari Ireland (2:53:38) dan Reka Kormendi dari Hungary (2:55:34).
Edisi ulang tahun kali ini turut menyaksikan detik-detik mengharukan, antaranya juara dunia dan Eropah paratriatlon, Peter Boronkay menamatkan jarak penuh 42.2 kilometer bersama rakannya yang kurang upaya, Andras Nagy, dengan menolak kerusi roda perlumbaan direka khas sepanjang laluan di tebing Sungai Danube, menyeberangi Jambatan Chain serta melalui mercu tanda seperti Istana Buda dan Parlimen Hungary.
Dua anggota bomba, Tibor Borbas dan Elek Keller pula menamatkan maraton dengan memakai pakaian perlindungan seberat 15 kilogram, manakala peserta tertua ialah warga tempatan berusia 81 tahun, Ferenc Kis. – Bernama


