Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara akan menganjurkan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan bagi Tahun 1447H/2025M.
Musabaqah berkenaan merupakan peringkat awal pemilihan qari dan qariah untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang akan dikendalikan oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam, KHEU.
Antara syarat kelayakan penyertaan ialah peserta hendaklah rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (pemegang kad pengenalan warna kuning), beragama Islam serta bermazhab Syafi’e aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Peserta juga hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak melebihi 40 tahun semasa mendaftar.
Pemilihan awal peringkat saringan kebangsaan akan berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Oktober bertempat di Masjid Setia Ali, Pekan Muara.
Borang penyertaan boleh diperoleh di Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Jalan Sumbiling, dan hendaklah dihantar tidak lewat dari 13 Oktober, pukul 4 petang, tertakluk kepada perubahan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Hajah Surinah @ Tini binti Haji Shamsuddin di talian 8878570, Haji Kamaruzaman bin Haji Jakar di talian 8831350 atau Dayang Riza Masdi binti Haji Mamit di talian 8747125.


