JAKARTA, 4 NOV – Presiden Rusia, Vladimir Putin masih belum memutuskan sama ada beliau akan menghadiri sidang kemuncak Pemimpin-pemimpin Kumpulan G20 bulan ini ketika peperangan memuncak di Ukraine, menurut pemimpin Indonesia dalam temu bual hari ini.
Mesyuarat negara-negara ekonomi terkemuka dunia telah dibayangi oleh pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya, dengan kedua-dua belah pihak terus bertempur tanpa sebarang perubahan signifikan.
Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata Putin memberitahunya melalui panggilan telefon kelmarin bahawa kehadiran beliau ke mesyuarat selama dua hari di pulau peranginan di Bali masih belum diputuskan.
“Putin ingin menghadirinya namun masih belum memutuskannya setakat ini,” Widodo memberitahu akhbar tempatan, Kompas dalam temu bual yang diterbitkan hari ini.
Beliau berkata pada Ogos lalu Putin menerima jemputan Jakarta ke sidang kemuncak pada 15 hingga 16 November, meskipun desakan daripada barat untuk menggantungkan Moscow daripada mesyuarat itu.
Tetapi kedua-dua buah negara yang berperang masih terikat dalam konflik yang menurut Kyiv kira-kira 4.5 juta orang penduduk Ukranie tanpa bekalan tenaga semasa musim sejuk.
Indonesia mengambil dasar luar yang neutral terhadap perang di Ukraine dan turut menjemput Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk menghadiri sidang kemuncak di mana beliau dijangka akan menghadirinya secara maya. Ukraine tidak termasuk sebagai anggota Kumpulan G20.
Zelensky mengugut untuk memboikot sidang kemuncak itu sekiranya Putin menghadirinya.
“Jika pemimpin Rusia hadir, Ukraine tidak akan menyertainya,” beliau memberitahu semasa sidang media di Kyiv, kelmarin.
Semasa perbincangan melalui telefon, Putin dan Widodo turut membincangkan mengenai perjanjian bijirin yang dikembalikan oleh Rusia minggu ini bagi membolehkan eksport Ukraine untuk melintasi Laut Hitam, menurut pemimpin Indonesia.- AFP