PERANCIS, 5 JAN – Seorang pemilik rumah di utara Perancis berusaha memaksa penyewanya keluar semasa musim sejuk dengan menanggalkan pintu dan tingkap hartanya.
Di Perancis, seperti di banyak negara Eropah lain, pengusiran penyewa pada musim sejuk adalah menyalahi undang-undang, walaupun penyewa berhutang sewa.
Namun, seorang pemilik rumah di Pas-de-Calais, sebuah daerah di utara Perancis, cuba mengelak undang-undang tersebut dengan memaksa penyewanya meninggalkan harta tanpa benar-benar meminta mereka keluar.
Menurut Oddity Central, Pada 20 Disember, satu pasukan pekerja tiba di rumah tersebut dan mula membongkar pintu dan tingkap dengan alasan untuk menggantikan barang-barang itu.
Namun, penyewa mendakwa pekerja tersebut hanya memuatkan pintu dan tingkap lama ke dalam kereta dan membawa pergi, membiarkan penyewa menghadapi kesejukan dan risiko pencerobohan berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa.
Seorang penyewa, yang merupakan ibu tunggal, memberitahu TF1 Info bahawa dia telah cuba menghubungi pemilik rumah selepas insiden tersebut, tetapi gagal.
Tidak mempunyai pilihan lain, wanita tersebut menggunakan kadbod untuk mengganti pintu dan tingkap berkenaan. Dia mendakwa kini terlalu takut untuk meninggalkan rumah, menyebabkan dia menghabiskan masa sepanjang hari di rumah.
Dalam kenyataannya kepada media Perancis, pemilik rumah itu mengakui tindakannya, dengan menjelaskan bahawa dia menanggalkan pintu dan tingkap kerana penyewa gagal memenuhi perjanjian.
Persatuan Pemilik Rumah Perancis berkata mereka memahami alasan pemilik rumah itu, namun menegaskan bahawa cara yang digunakan untuk memaksa penyewa keluar adalah menyalahi undang-undang.
Penyewa telah memfailkan aduan kerana pecah amanah dan sedang mencari perumahan sosial. – Agensi