PARIS, 1 SEPT – Seorang penyiar Perancis hari ini telah menafikan sebarang tanggungjawab berhubung kematian rakannya semasa siaran langsung, dalam kes yang mencetuskan pertentangan antara kerajaan dengan platform Kick serta merakamkan aksi ekstrem dalam talian. “Saya bukan orang yang membunuhnya. Tiada seorang pun daripada kami yang membunuhnya,” kata Safine Hamadi kepada penyiar RTL.
Hamadi merupakan salah seorang bekas penyampai saluran Kick yang menyiarkan kematian Raphael Graven, 46 tahun atau juga dikenali sebagai Jean Pormanove, pada pertengahan Ogos.
Bedah siasat yang diperintahkan oleh pihak pendakwa di Nice menolak sebarang ‘campur tangan pihak ketiga’ dalam kematian itu.
Hamadi turut menafikan berlaku sebarang penderaan terhadap Graven sepanjang 12 hari siaran langsung, meskipun terlihat lelaki itu telah mengalami penderaan fizikal dan penghinaan oleh peserta lain.
“Saya tidak pernah menyeksanya, langsung tidak,” kata pemuda berusia 23 tahun itu, sambil menambah, “semuanya adalah dengan persetujuan” dan gangguan itu, termasuk protes Graven, merupakan sebahagian daripada aksi lakonan, menurut Hamadi.
Hamadi berkata, dia dan Graven dibayar masing-masing 6,000 euro sebulan sebagai ‘pelakon’ oleh pengendali saluran itu, Owen Cenazandotti.
Hamadi dan Cenazandotti ditahan selepas pihak berkuasa membuka siasatan pada akhir 2024 susulan laporan media mengenai kandungan saluran itu. – AFP


