Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyiasat periksa tapak kebakaran bateri litium Seoul

    SEOUL, 25 JUN – Penyiasat Korea Selatan menggeledah tapak kilang litium yang hangus hari ini untuk mencari punca kebakaran besar yang mengorbankan 23 orang dalam salah satu bencana kilang terburuk di negara itu dalam beberapa tahun.

    Jabatan bomba berkata 23 orang kini disahkan maut, termasuk 17 warga China, kurang daripada angka awal mereka iaitu 18 orang, dengan kerja-kerja pengecaman mayat sedang dijalankan.

    “Kami merancang untuk mengesahkan identiti mangsa dengan mengumpul DNA daripada mayat,” beritahu anggota bomba, Kim Jin-young kepada pemberita.

    Kerajaan melancarkan siasatan rasminya hari ini, melibatkan kementerian dan jabatan dari seluruh negara untuk menentukan punca sebenar kebakaran.

    Lebih 100 orang sedang bekerja di kilang itu apabila pekerja terdengar beberapa siri letupan dari tingkat dua, tempat bateri litium-ion sedang diperiksa dan dibungkus.

    Anggota bomba membawa mayat di lokasi kebakaran di kilang pembuatan bateri litium di Hwaseong, Korea Selatan kelmarin. – AP

    Rakaman CCTV dari pintu masuk kilang itu menunjukkan asap putih memenuhi kawasan itu dalam masa kurang 20 saat ketika orang ramai meluru keluar, lapor agensi berita Yonhap.

    Asap toksik kemungkinan besar melemaskan pekerja di kawasan di mana kebakaran bermula, kata jabatan bomba, sambil menambah usaha pekerja untuk memadamkan api tidak akan berjaya memandangkan ia adalah kebakaran berpunca daripada litium.

    Park Soon-kwan, Ketua Pegawai Eksekutif Aricell dan pemilik kilang bateri litium memohon maaf hari ini atas kebakaran itu dan berkata syarikat itu akan ‘menyokong keperluan keluarga maangsa dalam apa sahaja cara’.

    Xing Haiming, Duta Besar China ke Seoul, melawat lokasi kebakaran lewat semalam, menyifatkan ia sebagai insiden ‘malang dan menyayat hati,’ tetapi berkata beliau ‘telah berbincang dengan kerajaan Korea’ untuk mengelak kejadian daripada berulang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda