WASHINGTON, 20 DIS – Anggota panel penyiasat serangan bangunan Capitol di Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan bekas Presiden, Donald Trump didakwa atas pelbagai tuduhan jenayah termasuk pemberontakan sekali gus boleh dikenakan hukuman penjara.
Jawatankuasa siasatan itu menggesa supaya Trump didakwa selepas siasatan selama 18 bulan terhadap serangan ke atas bangunan Capitol oleh penyokongnya pada 6 Januari 2021, selain tuduhan menghalang prosiding rasmi dan konspirasi untuk menipu AS.
Penggubal undang-undang turut mengesyorkan Trump didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk pemberontakan dan turut mencadangkan siasatan jenayah dengan hukuman penjara.
Panel berkenaan tidak boleh secara sendirinya memfailkan pertuduhan, tetapi boleh mengesyorkan kepada Jabatan Kehakiman yang sudah melantik peguam khas bagi meneliti peranan Trump dalam serangan bertarikh 6 Januari 2021.
Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima orang maut selepas kumpulan perusuh diserang ekoran dakwaan palsu Trump mengenai penipuan pilihan raya, yang turut mengarahkan mereka berarak ke Kongres, menyelongkar kerusi demokrasi AS untuk menghalang peralihan kuasa kepada Presiden AS yang dipilih, Joe Biden.
Jawatankuasa siasatan itu juga sebulat suara mengundi untuk merujuk pertuduhan itu kepada Jabatan Kehakiman AS selepas ucapan perasmian oleh Naib Pengerusi, Liz Cheney yang menuduh Trump ‘mengabaikan tugas yang jelas’ kerana gagal menghentikan rusuhan malah menggelarnya sebagai ‘tidak layak untuk berada di mana-mana pentadbiran’. – AFP
