Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyiasatan bagi gangguan bekalan air sedang dijalankan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kepada orang ramai bahawa semasa pemantauan paras tangki harian, jabatan mengesan penurunan pada paras air di beberapa tangki air utama yang melibatkan kawasan Kampung (Kg) Perpindahan Lambak Kiri, Berakas Kem, Kg Lambak Kanan, Akademi Pertahanan ABDB, Kg Tanah Jambu, Kg Salambigar, Kg Meragang dan kawasan sekitarnya.

    Dalam hubungan itu, JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan jabatan berkenaan sedang melaksanakan kerja-kerja penyiasatan di sepanjang paip utama dan Loji Rawatan Air Bukit Barun Peringkat 7, Fasa 2 bagi mengenal pasti punca gangguan itu.

    Oleh yang demikian, bagi orang ramai di kawasan-kawasan terjejas boleh mendapatkan bekalan air melalui tangki-tangki biru yang disediakan di kawasan-kawasan yang ditetapkan buat sementara waktu.

    Tangki-tangki biru telah ditempatkan di beberapa lokasi iaitu bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Lambak Kanan di Jalan 77 berdekatan Dewan Kemasyarakatan, kawasan lapang Masjid RPN Kg Lambak Kanan, Jalan 99, Jalan 1 berdekatan Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan 1, Jalan 31, Jalan 11, Jalan 64, Jalan 49, Jalan 3 dan Jalan 4.

    Bagi STKRJ Lambak Kiri di Masjid STKRJ Lambak Kiri, bagi RPN Kg Meragang dan RPN Kg Tanah Jambu di Taman Riadah RPN Meragang, Jalan Binglu, RPN Tanah Jambu dan Masjid Kg Tanah Jambu serta bagi Kg Salambigar di Masjid Kg Salambigar.

    Sehubungan itu, segala kesulitan dan ketidakselesaan yang dialami oleh orang ramai adalah sangat dikesali dan JKR ingin memberi jaminan bahawa pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang terjejas.

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda