PARIS, 19 APRIL – Pihak berkuasa Perancis kelmarin mengharamkan penyokong Basel dari perlawanan kedua suku akhir Liga Konferensi Europa di Nice bagi mengelakkan konfrontasi antara penyokong pihak lawan.
Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi, minggu lalu mendesak agar penyokong kelab Switzerland itu dilarang daripada menyaksikan perlawanan pada awal pagi Jumaat ini.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan perintah rasmi yang menyatakan perlawanan ‘pelawat’ Basel kerap menjadi punca gangguan ketenteraman awam.
“Hubungan antara penyokong kedua-dua pasukan yang berkongsi ideologi politik yang berbeza dicemari dengan permusuhan,” kata kementerian itu.
Perlawanan pertama pada 13 April berakhir seri 2-2.

Kementerian itu berkata bahawa sebelum perlawanan itu berlangsung di Basel, “penyokong tegar kedua-dua pasukan merancang untuk bersemuka antara satu sama lain”.
Pada hari perlawanan, terdapat “penggunaan peralatan piroteknik yang banyak” serta “insiden dan provokasi disiarkan di media sosial, tetapi tanpa berlakunya pergaduhan yang dirancang”, menurut kenyataan itu.
“Dikhuatiri perlawanan timbal balik pada awal pagi Jumaat nanti akan menjadi medan pergaduhan,” tambah kenyataan itu.
Tahun lalu, ketika Basel bertandang ke Marseille dalam Liga Konferensi Europa pada peringkat 16 terakhir, penyokong ultras kedua-dua pasukan terlibat dalam pertelingkahan.
Penyokong Nice terlibat dalam konfrontasi ganas dengan penyokong Cologne yang melawat pada September lalu, menyebabkan 32 orang cedera. – AFP

