LONDON, 16 JULAI – Penyokong kelab Crystal Palace mengadakan protes di luar Stadium Selhurst Park pada Selasa malam susulan keputusan UEFA menurunkan kelab itu ke Liga Konferens, lapor PA Media/dpa.
Ratusan penyokong berarak ke stadium sambil membawa sepanduk, termasuk individu di barisan hadapan yang tertulis UEFA: MORALLY BANKRUPT. REVOKE THE RULING NOW.
Palace layak ke Liga Europa musim ini selepas menewaskan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA pada Mei lalu – kemenangan yang menghadiahkan trofi utama pertama dalam sejarah kelab itu.
Bagaimanapun, kelab itu gagal memenuhi tarikh akhir 1 Mac untuk membuktikan bahawa pemilik bersama dari Amerika Syarikat, John Textor yang juga pemegang saham di Lyon tidak mempunyai kawalan atau pengaruh ke atas lebih daripada satu kelab dalam kejohanan yang sama.
Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) memutuskan bahawa penglibatan Textor dalam kedua-dua kelab bermakna hanya satu yang dibenarkan menyertai Liga Europa, dan Lyon mendapat keutamaan berdasarkan kedudukan liga yang lebih tinggi.
Crystal Palace kini sedang menimbang langkah seterusnya dan tidak menolak kemungkinan mengemukakan rayuan terhadap keputusan UEFA itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – Bernama
