MANILA. 28 MAC – Keluarga dan penyokong bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berhimpun hari ini untuk memperingati ulang tahun ke-80 beliau dan membantah penahanannya di The Hague atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Duterte berisiko menghabiskan sisa hidupnya di penjara, jika disabitkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan yang berkaitan dengan ‘perang terhadap dadah’ yang menyaksikan ribuan orang terkorban.
Pihak polis memberitahu AFP, mereka telah menyekat konvoi terdiri daripada sekurang-kurangnya 100 penunggang motosikal berhampiran istana presiden Filipina, dengan membunyikan hon, mengibarkan bendera Filipina dan membawa poster yang tertera perkataan ‘Bawa Beliau Pulang’.
Di bandar selatan Davao, penyokong bekas presiden berkumpul dalam satu perhimpunan dengan menyalakan lilin, salah satu daripada lebih 200 majlis sambutan hari lahir yang menuntut pembebasannya.
“Hampir semua rakyat Filipina menyayangi-nya dan sangat sedih untuknya sekarang,” kata penyokong berusia 44 tahun, Darbie Bula.
Jurucakap istana presiden, Claire Castro, berkata bahawa para penunjuk perasaan mempunyai hak untuk berhimpun, tetapi memberi amaran terhadap tindakan
yang “menimbulkan ketakutan (atau) menyebarkan kebencian terhadap kerajaan, yang hampir menghasut kepada pemberontakan.” – AFP
