PARIS, 5 Mei – Pasukan Ligue 1, Bastia menerima padah selepas dijatuhkan hukuman susulan keganasan penyokong yang menyaksikan perlawanan di gelanggang sendiri menentang Lyon terpaksa dihentikan pada separuh masa pertama, bulan lalu.
Suruhanjaya disiplin liga berkenaan yang bermesyuarat semalam menghadiahkan kemenangan kepada Lyon dan mengarahkan stadium Bastia, Furiani ditutup untuk dua perlawanan.
Pengarah Bastia, Anthony Agostini pula digantung empat bulan selepas didapati berbalah dengan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes.
Rabu lalu, pihak polis Perancis menahan 11 individu yang mencetuskan keganasan di kelab yang bergelut dengan penyingkiran itu.
Lima individu sudah didakwa selepas sekumpulan penyokong tegar di kelab Corsican itu menceroboh padang pada 16 April lalu dan menyerang pemain-pemain Lyon.
Dua pemain Lyon, Lopes dan Mathieu Gorgelin, telah membuat laporan polis selepas serangan berkenaan. – AFP