TOKYO, 29 Jun – Seorang warga kerja Jepun yang bekerja hari ini dilihat begitu gembira dan berkongsi kegembiraan beliau dengan seorang lagi peminat bola sepak yang bergenang air mata ketika meraikan kejayaan Samurai Biru melangkah ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia.
Jepun tewas 1-0 kepada Poland di Rusia kelmarin dalam satu perlawanan yang berakhir di mana Samurai Biru mengetahui takdirnya jika mereka memungut kad kuning atau Senegal seri menentang Colombia dalam perlawanan lain Kumpulan H.
“Ia memang agak mencurigakan dan tidak bagus mendengar orang ramai mengejek tetapi kami sampai di peringkat kalah mati. Jadi ‘banzai!’ saya rasa,” kata penyunting pengiklanan Ken Yazawa kepada AFP.
“Ini kali ketiga kami sudah melangkah sejauh ini,” kata lelaki berusia 44 tahun itu. “Mudah-mudahan kami boleh pergi lebih jauh lagi walaupun sekarang kami harus mengalahkan Belgium untuk sampai ke suku akhir. Ia mimpi ngeri!”
Tidak cukup diejek di luar padang, taktik Jepun di Rusia juga dikecam di media sosial dengan beberapa pengguna Twitter Jepun mengecam ke jurulatih Akira Nishino kerana mengarahkan pasukannya untuk bertahan dan menguasai bola di separuh padang sendiri.

Seorang peminat yang tidak puas hati menyatakan ironi Jepun menjadi pasukan pertama untuk mara di bawah peraturan ‘permainan adil’ selepas kurang kutipan kad kuning berbanding Senegal dengan memuat naik posting: “Sangat lucu bagaimana Jepun mara dengan permainan anti-bola sepak tetapi hanya untuk berhempas pulas pada hari lain.”
Seorang lagi mengutuk badan bola sepak dunia kerana memperkenalkan peraturan itu. “Saya waswas jika FIFA ada melihat peraturan permainan adil digunakan dengan tidak adil,” beliau berciap di Twitter selepas wisel terakhir dibunyikan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.
Beberapa pengguna media sosial cuba meredakan rungutan ketika Jepun dikecam oleh pengulas televisyen di seluruh dunia yang menyamakan kekalahan kepada pertandingan Piala Dunia 1982 antara Jerman Barat dan Austria, ketika kedua-dua pasukan bermain-main dengan kemenangan 1-0 yang pada hakikatnya menguntungkan Jerman.
“Mari kita terus memungut sampah dan mengumpul mata persembahan yang adil,” seorang lagi penyokong Jepun berseloroh dengan merujuk kepada penyokong Jepun yang prihatin membantu membersihkan stadium selepas perlawanan. – AFP