NEWCASTLE, 30 MAC – Newcastle berubah menjadi lautan hitam dan putih kelmarin, apabila 150,000 penyokong membanjiri jalan-jalan di bandar itu untuk meraikan kejayaan Magpies menjulang Piala Liga menerusi perarakan bas terbuka.
Kemenangan 2-1 ke atas Liverpool pada 16 Mac lalu memberikan Newcastle trofi utama pertama mereka sejak 1969 dan kejuaraan domestik pertama dalam tempoh 70 tahun.
Walaupun sekian lama tanpa kejayaan besar, Newcastle tetap mempunyai salah satu kumpulan penyokong paling setia dan bersemangat dalam bola sepak England.
“Ia benar-benar luar biasa, sungguh menakjubkan,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe, yang wajahnya terpampang pada kain rentang besar di hadapan stadium St. James Park.
“Awda lihat orang bergayut di tiang lampu, menjenguk dari bangunan, saya harap semua selamat!
“Orang ramai di sini sungguh hebat. Saya tidak dapat mengucapkan terima kasih yang secukupnya atas cara mereka menerima saya dan keluarga saya. Saya gembira dapat memberikan mereka sedikit kegembiraan.”
Perarakan bermula di St. James Park sebelum melalui pusat bandar dan berakhir di Town Moor, di mana pemain dan legenda kelab disambut di atas pentas.
“Saya kata saya akan berpesta lebih hebat daripada sesiapa, dan saya rasa saya memang melakukannya,” kata penjaring terbanyak sepanjang zaman Newcastle dan bekas kapten England, Alan Shearer.
“Saya tak tahu saya berada di mana, pukul berapa, hari apa! Dua minggu terakhir ini mungkin yang terbaik dalam hidup saya.”
Pemain tempatan Dan Burn dan penyerang berbisa Alexander Isak menjadi wira di Wembley apabila masing-masing menjaringkan gol yang akan terpahat dalam sejarah Newcastle. – AFP
