BERLIN, 1 Julai – Penyokong dan bekas pemain Jerman sebulat suara melontarkan sokongan supaya Joachim Loew kekal selaku jurulatih pasukan itu, meskipun kempen Piala Dunia kali ini berakhir dengan kegagalan.
Menerusi kaji selidik yang dijalankan RTL, 48 peratus penyokong Jerman menyatakan Loew patut kekal dan 37 peratus mahukan supaya beliau meninggalkan pasukan itu, sementara 15 peratus lagi berbelah bagi. Pemain bintang Jerman bersetuju supaya beliau kekal namun Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dijangka akan mendengar keputusan Loew dalam masa terdekat susulan krisis terbesar yang dialami pasukan itu sepanjang tempoh 12 tahun kendaliannya.
“Beliau sepatutnya kekal, beliau melakukan kerja yang baik sepanjang menjadi jurulatih selain membawa masuk pemain muda menyertai pasukan ini. Jadi saya begitu mengharapkan ‘Jogi’ untuk kekal,” kata pemain tengah, Sami Khedira kepada akhbar Bild.
Penyerang Thomas Mueller yang mengharungi kempen Piala Dunia hambar di Rusia turut bersetuju dengan Khedira dan berkata ‘secara dasarnya, pemain yakin dengan cara kerjanya’.
Low menggugurkan Khedira dan Mueller selepas aksi hambar ketika menentang Mexico dan Sweden pada perlawanan peringkat kumpulan dan ‘kesetiaannya’ dengan menurunkan beberapa bintang Piala Dunia 2014 nyata memakan diri.

Bulan lalu, Loew menandatangani kontrak lanjutan lumayan bersama DFB hingga 2022.
Namun kini beliau akan menghabiskan masa di kediamannya di Freiburg untuk memikirkan semula mengenai masa depannya bersama pasukan itu.
Meskipun membawa pasukan Jerman kepada kejuaraan Piala Dunia musim 2014 dan seterusnya membawa kepada kemenangan Piala Konfederasi 2017 dengan menerapkan bintang-bintang muda, reputasi Loew kini tercalar di Jerman.
Juara bertahan itu mengakhiri kejohanan di kedudukan tercorot dalam kumpulan mereka, gagal untuk mara peringkat seterusnya buat pertama kali sejak tahun 1938. Namun begitu, peminat dan pemain masih yakin dengan Loew.
“Memecat jurulatih memang mudah, kemudian langkah seterusnya, siapa yang berpotensi menggantikannya?” kata bekas pemain pertahanan Jerman, Christoph Metzelder kepada Sky Sports. “Saya tidak mempunyai jawapan itu, dan saya yakin begitu juga yang lain.” – AFP