LONDON, 18 Feb – Permulaan hebat pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Salah (gambar) sejak menyarung jersi Liverpool, telah menyebabkan sebahagian penyokong menyanyi bahawa mereka mahu memeluk Islam sebagai penghormatan kepada idola baru mereka itu.
Salah menjadi pemain Liverpool kedua terpantas untuk mencapai gol ke-30 dalam satu musim menerusi penyudahnya semasa penampilan ke-36 bersama kelab dalam kemenangan 5-0 Liga Juara-Juara ke atas Porto.
Dan di beberapa buah jalan raya bandar Portugal pada pertengahan minggu, penyokong Liverpool menggubah satu lagu daripada sebuah lagu 1990an yang berbunyi: ‘Jika dia menjaringkan beberapa gol lagi, maka saya akan menjadi Muslim juga!’.
“Ini adalah kali pertama saya melihat penghargaan positif penuh semangat dan terang-terangan yang dikaitkan dengan agama,” kata Pengarah Eksekutif Bola Sepak Menentang Perkauman di Eropah (FARE), Piara Powar.
Pemain Terbaik Afrika itu merupakan penganut agama Islam dan kerap meraikan gol-golnya dengan bersujud tanda syukur. – AFP