Wednesday, February 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyolek tengkolok warisan

    ALOR SETAR – Tengkolok atau lebih dikenali “destar” merupakan pakaian tradisi masyarakat Melayu yang melambangkan ketokohan pembesar dan raja-raja Melayu sejak dahulu kala. Ia juga lambang kepada hierarki masyarakat ketika itu membezakan antara rakyat biasa dan pembesar hingga penutup kepala itu diangkat sebagai pakaian tradisi orang Melayu.

    Justeru, tidak hairanlah jika pelengkap pakaian tradisi ini masih dihargai oleh generasi kini hingga membuatkan ada segelintir masyarakat bersungguh-sungguh menghidupkan kembali aksesori kepala tradisional itu untuk menjadi tatapan generasi pada baru-baru ini. Berasal dari Kampung Peremba, di sini, Mohd Yatim Mustaffa, 40, antara “penyolek” tenggkolok yang aktif mereka bentuk tengkolok tradisi dan moden sesuai dengan si pemakainya.

    Menceritakan penglibatan beliau di dalam teknik pembuatan tengkolok atau tanjak ini, Mohd Yatim berkata, minatnya timbul sejak berusia 20-an lagi selepas beberapa kali menyertai persembahan seni silat di rumah kenduri serta sering mengikuti kumpulan pergendangan di negeri in.

    Keunikan tengkolok

    “Dulu saya main silat di rumah-rumah kenduri dan dari situ saya tertarik dengan keunikan tengkolok ini kerana ia bukan sahaja untuk menutup kepala tetapi melambangkan sifat kepahlawanan dan ketokohan seseorang. “Kalau kita tengok orang yang memakainya mudah sahaja, tetapi rupa-rupanya hendak mengikat tengkolok itu memerlukan seni dan kreatif jika tidak ada teknik, tidak akan menjadi,” katanya.

    Minatnya yang membuak-buak menyebabkan Mohd Yatim seorang yang berpengalaman selama 26 tahun menyolek tengkolok membeli tengkolok yang sudah siap jenis “Dendam Tak Sudah” pada harga RM40 yang kemudian dileraikan sebelum melipat semula untuk membentuk tengkolok,” Pada mulanya saya rasa putus asa, tetapi selepas beberapa kali cuba melerai dan mengikat kembali ikatan, akhirnya tengkolok jenis itu berjaya diikat seperti sebelum ini dan berjaya,”katanya.

    Pembuat tengkolok, Mohd Yatim Mustaffa, menunjukan sebahagian tengkolok yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Peremba. – Bernama
    Pembuat tengkolok, Mohd Yatim Mustaffa, menunjukan sebahagian tengkolok yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Peremba. – Bernama

    Teknik ikatan tengkolok kemudian didalami lagi melalui pembelian buku-buku yang berkaitan dengan tengkolok. Dari buku-buku itu saya belajar sehingga berjaya membuat tengkolok sendiri yang diilhamkan dari haiwan dan tumbuh-tumbuhan hasil pemerhatian sendiri.

    Mendalami ilmu pembuatan tengkolok

    “Selain itu, saya juga pernah menyertai kursus-kursus berkaitan ikatan tanjak dan tengkolok di Taman Budaya, Pumpong, di sini bagi mendalami lagi ilmu pembuatan tengkolok ini. “Saya juga meminati filem-filem Melayu klasik lama yang menampilkan pemakaian tengkolok di dalam filem itu dan dari situ saya cuba mengikat dan menghasilkan tengkolok berdasarkan watak seseorang,” katanya yang turut mempelajari dari seorang pembuat tengkolok yang terkenal di sini dikenali “Pak Mus”,” kata Mohd Yatim.

    Isterinya, Mariah Shahban, 36, yang mahir dalam bidang jahitan turut membantu beliau ketika banyak menerima tempahan dari pihak istana, butik-butik pengantin dan orang perseorangan yang meminati tengkolok. Katanya, permintaan terhadap tengkolok boleh mencecah sehingga 500 tempahan sewaktu musim cuti sekolah. Beliau menjelaskan bahawa terdapat dua jenis pemakaian tengkolok iaitu pemakaian tengkolok tradisi yang dikaitkan dengan majlis-majlis diraja, dengan bentuk yang berlainan mengikut negeri, selain tengkolok untuk adat istiadat dan perkahwinan Melayu serta seni silat.

    Ikatan dan simpulan yang membezakan tengkolok

    “Ini kita dapat lihat dalam majlis yang melibatkan raja-raja dimana setiap raja negeri-negeri mempelbagaikan gaya ikatan dan simpulan tengkolok yang berlainan mengikut negeri masing-masing, manakala tengkolok yang dihasilkan mengikut kreativiti pembuatnya adalah tengkolok dekorasi dan dipakai sebagai hiasan,” kata beliau. Sehingga kini, sebut sahaja Mohd Yatim, ramai yang mengenali beliau terutama dalam kalangan penggiat seni dan pihak protokol istana kerana kepakarannya yang luar biasa itu.

    Sehingga kini hampir 100 jenis tengkolok berjaya dihasilkan termasuk Dendam Tak Sudah, Tanjak Temalong Budu, Tengkolok Putera Kayangan dan Tanjak Tebang Selat. – Bernama
    Sehingga kini hampir 100 jenis tengkolok berjaya dihasilkan termasuk Dendam Tak Sudah, Tanjak Temalong Budu, Tengkolok Putera Kayangan dan Tanjak Tebang Selat. – Bernama

    Mohd Yatim bukan hanya membuat tengkolok mengikut tradisi tetapi turut menghasilkan tengkolok diilhamkan daripada pelbagai unsur flora dan fauna, mengikut versi klasik.

    “Selain membuat pelbagai jenis tengkolok tradisi negeri-negeri, saya turut menghasilkan hampir 100 jenis tengkolok ciptaan sendiri seperti ‘Gagak di Rimba’ yang dilhamkan daripada seekor burung di celah-celah rimbunan pohon serta ‘Gading Laksamana’ dan ‘Gading Temasek’ yang diilhamkan daripada gading gajah. Bagi tengkolok tradisi, nama dan bentuk tidak boleh berubah seperti Dendam Tak Sudah, Tanjak Temalong Budu, Tengkolok Putera Kayangan dan Tanjak Tebang Selat.

    Sambutan baik sempena Jubli Emas Sultan Abdul Halim

    “Saya bersyukur kerana tempahan demi tempahan diterima dan paling banyak tempahan ialah ketika sambutan Jubli Emas Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dengan 152 biji tengkolok pada 2008 sehingga terpaksa `bersengkang mata selama tiga hari dua malam untuk menyiapkannya,”katanya. Kini Mohd Yatim juga mampu membuat pelbagai jenis tengkolok mengikut variasi atau gelaran diberi oleh istana atau golongan bangsawan pada masa dahulu yang kekal sehingga sekarang.

    Antara nama atau gelaran tengkolok yang dibuat oleh Mohd Yatim ialah Tanjak Laksamana, Gagak Di Rimba, Ayam Teleng, Tanjak Harimau Berantai, Tunas Rebung, Naga Bora, Solek Gondang Mas, Layang Mas, Helang Menyongsong Angin, Lang Sura dan Solek Ketam Batu. “Saya harapkan seni ikatan tengkolok ini tidak akan luput ditelan zaman dan akan meneruskan deligasi ikatan tengkolok kepada generasi akan datang, insyaAllah,”katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda