Pengalaman menjadi orang ketiga dalam sesebuah perhubungan membuatkan aktres popular, Nur Fazura berpendapat tidak semua penyondol berniat jahat.
Meskipun pengalaman hanya dikutip menerusi watak Imani iaitu isteri kedua kepada Syed Mirza lakonan Datuk Adi Putra dalam drama Lelaki Itu, namun peranannya itu sudah cukup buat Fazura menyelami gejolak jiwa wanita yang terpaksa berkongsi kasih atas sebab tertentu.
Barangkali ia bukanlah pendapat popular, namun menurut pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin beranggapan tidak adil untuk meletakkan kesalahan di bahu wanita, sedangkan ada banyak punca menyebabkan insiden merampas suami orang berlaku.
“Sejujurnya, masa mula-mula dimaklumkan oleh penerbit Erma Fatima saya bakal bawa watak penyondol, saya sangat takut.
“Saya tengok juga adakah watak penyondol sekadar nak rampas suami orang ataupun ada mesej yang ingin disampaikan.
“Bagaimanapun, selepas berbincang dan faham alur ceritanya, saya terima. Lagipun, Erma begitu terbuka bila saya berkongsi idea mengenai watak Imani itu.
“Dalam drama Lelaki Itu, kita boleh lihat bagaimana Imani berkahwin dengan Syed Mirza. Imani menjadi mangsa perkahwinan toksik apabila sering didera suami, manakala Syed Mirza berdepan situasi isteri yang terlalu sibuk.
“Selepas berkahwin, Imani mendapat kasih sayang yang tidak pernah diperoleh sebelum ini. Imani juga sering mengajar suaminya ke arah kebaikan seperti mengerjakan solat.
“Mereka melengkapi antara satu sama lain. Jadi, kita dapat lihat tidak semua ‘penyondol’ itu jahat, sekadar nak rampas suami orang atau mahukan harta semata-mata,” katanya kepada BH Online.
Berbanding karakter penyondol lain yang sering menjadi mangsa kecaman netizen, namun sebaliknya buat pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 dalam drama Lelaki Itu. – Agensi
