LABUAN, 7 SEPT – Seekor penyu hijau berukuran 1.16 meter ditemukan mati di Pantai Layang-Layangan di sini hari ini, tanpa kepala dan ekor.
Bangkai penyu betina yang merupakan spesies penyu laut paling diancam kepupusan itu, ditemukan oleh penduduk kampung dan kanak-kanak yang bermain di pantai pada kira-kira 9 pagi. Penemuan itu dilaporkan kepada wartawan Bernama Jailani Hasan yang kemudian menghubungi Jabatan Perikanan pada 10:24 pagi.
Ketua cawangan taman marin dan pengurusan sumber Jabatan Perikanan Labuan Vanessa Caroline Lee yang tiba di tempat kejadian berkata ini merupakan penemuan kedua selepas bangkai penyu Hawksbill (Eretmochelys imbricata) ditemukan mati di Pantai Chimney semalam.
“Ini merupakan bangkai penyu paling besar yang pernah kita temukan terdampar di pantai ini. Kami akan membuat laporan polis bagi siasatan lanjut kerana kemungkinan kematian haiwan tersebut disebabkan perbuatan manusia,” katanya. – Bernama
