KUALA NERUS, 22 JULAI – Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah ancaman Kuching City FC dalam pertemuan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada malam esok.
Menurut jurulatih kelahiran Kelantan itu, walaupun TFC dilihat memiliki kelebihan kerana berstatus pasukan Liga Super, ia bukan jaminan untuk menang kerana cabaran di peringkat perlawanan kalah mati berbeza berbanding liga.
Justeru katanya, skuad Penyu tidak boleh leka dan perlu sentiasa berwaspada dengan elemen kejutan dalam perlawanan yang boleh mengakibatkan mereka berputih mata di laman sendiri, jika tersalah langkah.
“Di atas kertas kita (TFC) mungkin memiliki kelebihan kerana kita bertemu dengan pasukan Liga Premier (Kuching City FC) di suku akhir.
“Tetapi hakikatnya kita akan merasai lebih tekanan kerana harapan yang diletakkan daripada peminat amat tinggi untuk kita mara ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui semalam. – Bernama