MANCHESTER, 20 Mac – Penyudah yang lebih tajam adalah yang diperlukan untuk Manchester City naik ke tahap seterusnya, kata pengurus Pep Guardiola selepas pasukannya diikat seri 1-1 dengan Liverpool.
Pendekatan Guardiola telah mendapat kritikan selepas City tewas 3-1 di Monaco minggu lepas, yang menyaksikan mereka tersingkir dari Liga Juara-Juara menerusi kelebihan di gol lawan selepas agregat seri 6-6.
Jaringan penyamaan Sergio Aguero pada minit ke-69 bermakna City mendapat satu mata daripada perlawanan sengit dengan Liverpool, tetapi Guardiola berkata kurang ketajaman di bahagian serangan telah menjejaskan pasukan.
“Apabila anda menjaringkan gol, selepas itu perlawanan berada di genggaman dan anda perlu lebih banyak membuat penguasaan,” katanya.
“Kami mempunyai banyak peluang di depan penjaga gol dan kami gagal memanfaatkannya. Sebab itu anda tidak dapat bersaing dengan pasukan-pasukan handalan.

“Untuk mencapai sasaran itu, anda perlu menjadi lebih klinikal.”
Jaringan Aguero, hasil daripada hantaran lintang daripada Kevin De Bruyne, telah membatalkan penalti minit ke-51 bekas pemain City, James Milner.
City mensia-siakan sejumlah peluang selepas itu, dengan Aguero khususnya, tetapi meskipun setelah mengenal pasti kunci utama pembaziran peluang pasukannya, Guardiola berkata tidak ada yang dapat dia lakukan untuk memperbaikinya.
“Sepanjang kerjaya saya ketika masih seorang pemain bola sepak selama 11 tahun dan saya hanya menjaringkan 11 gol. Satu gol setahun,” katanya dengan senyuman.
“Jadi boleh anda bayangkan nasihat apa yang saya perlu katakan kepada Sergio dan pemain-pemain lain mengenai menjaringkan gol?.” – AFP