Oleh Nurdiyanah R. & Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Sebagai penghargaan kepada para penyumbang yang menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian khusus bagi golongan pelajar yang memerlukan, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penghargaan bagi Kempen Sumbangan Peranti yang berlangsung di Dewan Persidangan 1, Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, para penyumbang terdiri daripada pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd, Bank Baiduri, Brunei Methanol Company Sdn Bhd, Huawei Technologies Sdn Bhd, Komputer Wisman Sdn Bhd, SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd, I.T. Protective Security Services (ITPSS) Sdn Bhd, Zahara Charity Foundation, Alumi Peserta Kursus EDPSGO ke-17, Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan Negara Brunei Darussalam, CfBT Education Services dan Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH.
Selain itu, majlis juga turut menyaksikan penyerahan sumbangan berupa pek data daripada syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini.
Datastream Digital Sdn Bhd (DST) menyerahkan cek berjumlah $112,000 iaitu nilai 70,000GB data sebagai sumbangan keseluruhan daripada pelanggan-pelanggan DST, Takaful Brunei Darussalam dan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd kepada Edupack Prihatin.


Sumbangan keseluruhan Edupack Prihatin berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Raden Sufri bin Raden Basiuni kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Menurut kenyataan DST, Edupack Prihatin merupakan sebuah inisiatif bersama Kementerian Pendidikan dan DST untuk membantu pelajar-pelajar kurang bernasib baik yang tiada akses kepada teknologi dan Internet.
Inisiatif itu dilancarkan pada 26 September lalu di mana dalam masa dua bulan dengan sokongan dan kemurahan hati daripada para pelanggan, DST telah mampu untuk mencapai matlamatnya menyumbangkan 70,000GB bagi membantu para pelajar berkenaan.
Untuk membantu lagi Kementerian Pendidikan, DST juga menyumbangkan sejumlah 296 pek SIM Easi bagi pelajar-pelajar kurang bernasib baik dengan pembelajaran dalam talian mereka dan DST juga akan terus memastikan EduPack Prihatin tersedia bagi pelanggan-pelanggan DST untuk menyumbang dan menderma bagi membantu pelajar Brunei.
Sementara itu, Progresif Sdn Bhd pula menyerahkan sebanyak 15,773GB data bernilai $47,318 hasil kutipan daripada Kempen Donate Data: Progresif for Schools dan imagine Sdn Bhd menyampaikan lebih 25,000GB data bernilai $36,529 yang juga merupakan hasil kutipan daripada Kempen Donate Data: imagine’s A-Dollar-A-Cheer.
Setakat hari ini, Kementerian Pendidikan telah menerima sebanyak 1,106 peranti dan 489 kad SIM melalui Kempen Sumbangan Peranti tersebut.