Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pep: Elakkan sejarah berulang

    MANCHESTER, 26 Sept – Pep Guardiola (gambar bawah) memberi amaran kepada pasukannya, Manchester City bahawa mereka perlu mengelakkan diri mereka daripada rasa berpuas hati atau akan menerima risiko menyaksikan permulaan hebat mereka punah sekali lagi.

    City berada di persada Liga Perdana selepas memenangi lima dan seri sekali, sementara menikmati kemenangan ke atas Feyenoord dalam Liga Juara-Juara dan West Brom dalam Piala Liga.

    Namun, Guadiola, yang mana pasukannya menghadapi Shakhtar Donetsk di Stadium Etihad pagi Rabu ini, waspada selepas menyaksikan City menamatkan tanpa sebarang trofi musim lepas meskipun memenangi 10 perlawanan pembukaan mereka dalam semua persaingan.

    Kelab itu mengalami kekecewaan yang sama dalam musim sebelumnya, di bawah kendalian Manuel Pellegrini, apabila mereka memenangi lima perlawanan Liga Perdana dan menamatkan kempen di kedudukan keempat.

    City berada dalam prestasi hebat kebelakangan ini, menjaringkan 16 gol dalam tiga perlawanan liga terakhir, dengan kemenangan 5-0 ke atas Liverpool dan Crystal Palace serta kemenangan 6-0 di Watford.

    Sergio Aguero (depan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Man City menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk. – AP

    Sebagai tambahan, pasukan Guardiola juga membuat permulaan sempurna dalam Liga Juara-Juara, dengan kemenangan meyakinkan 4-0 di Feyenoord dalam perlawanan peringkat kumpulan.

    Namun pengurus itu berkata masih terlalu awal untuk mula berangan-angan.

    “Ia bagus untuk berada di kedudukan kini, tetapi ia masih September,” katanya kepada para wartawan di Manchester bagi sidang media pra perlawanan. “Perjalanan masih jauh, dan masih banyak perlawanan perlu dihadapi.”

    “Para pemain tahu ia masih September. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini Man City kerap bermula dengan baik dan selepas itu gagal mencapai keputusan yang dimahukan. Kami hadapi dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan fokus pada semua kejohanan.”

    Bos City itu berkata keadaan dalam skuad sangat bagus kerana pasukan memulakan musim dengan kuat.

    “Apabila kami menang, semuanya pasti menjadi lebih mudah. Kami melihat banyak perkara, memerhatikannya dan berkata ia bagus, kerana kami menang.

    “Apa yang kami perlu lakukan adalah meneruskannya. Itu adalah rahsianya. Kami adalah profesional dan kesemua pemain berada di sini untuk memenangi perlawanan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda