MANCHESTER, United Kingdom, 21 Feb – Pep Guardiola (gambar) menegaskan hubungannya bersama Sergio Aguero masih kukuh biarpun spekulasi meningkat terhadap masa depan penyerang Manchester City itu sejak ketibaan Gabriel Jesus.
Sensasi remaja Jesus mendapatkan tempat Aguero dalam kesebelasan utama Guardiola sebelum patah tulang kaki yang sudah pasti merehatkan pemain dari Brazil daripada baki perlawanan selebihnya.
Situasi ini memaksa Guardiola menghubungi semula Aguero untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA di Huddersfield Ahad lalu yang berkesudahan dengan keputusan seri.
Tetapi peluang itu menyaksikan persembahan hambar Aguero dan hubungan baik antara penyerang dan pengurus itu dilihat tegang.
Dengan hanya dua gol sejak akhir November, beberapa kejadian baru-baru ini meningkatkan spekulasi bahawa Aguero, 28, akan menamatkan ‘kerakyatannya’ enam tahun bersama City apabila kempen musim ini berakhir.
Tetapi ketika Guardiola bersedia bagi perlawanan pertama daripada dua aksi bersama Monaco dalam 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara hari ini, jurulatih City itu menegaskan dia menangani Aguero tidak berbeza dengan masa-masa lalu.
“Sergio memiliki pengalaman yang mencukupi. Dia tahu semua orang tahu,” Guardiola memberitahu wartawan semalam.
“Kami akan bercakap bersamanya dengan semua rakan sepasukannya. Pada peringkat ini begitu sukar dalam Liga Juara-Juara.
“Ia adalah salah satu persaingan menarik, mungkin tidak begitu penting, tetapi paling cantik dan kami perlu melakukan yang terbaik.
“Seluruh Eropah akan menonton kami, untuk menganalisis kami, untuk menjejaskan kami jika kami tidak menang atau menyatakan betapa bagusnya kami jika kami menang. Ia satu pengalaman besar dan menarik bagi saya.”
Dan Guardiola mempunyai kepercayaan terhadap Aguero untuk menemukan semula sentuhan jaringannya.
“Pemain yang menjaringkan gol adalah berbakat dan mempunyai naluri. Bagaimana mereka perlu bergerak, mencipta ruang tidak perlu dikawal seperti alat kawalan TV. Dia akan melakukannya sendiri.” – AFP