LIVERPOOL, 15 Jan – Jurulatih Manchester City Pep Guardiola menegaskan perlumbaan gelaran juara Liga Perdana belum berakhir selepas pasukannya menanggung kekalahan dramatik 4-3 kepada Liverpool di Anfield kelmarin.
Jaringan awal Alex Oxlade-Chamberlain untuk Liverpool dapat dibatalkan melalui jaringan Leroy Sane untuk Man City sejurus sebelum tamat separuh masa pertama. Namun, tiga gol dalam masa sembilan minit dari Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah telah mengecewakan City.
Pasukan Guardiola cuba untuk bangkit menerusi jaringan lewat Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan tetapi Liverpool bertahan untuk kemenangan yang tidak dapat dilupakan itu.
“Tahniah untuk Liverpool dengan kemenangan itu,” kata Guardiola. “Permainan berada di pihak kami pada 1-1 tetapi penyudah kami tidak bagus dan tiba-tiba menjadi 4-1.
“Anda harus stabil apabila anda memberikan gol dan kami tidak cukup kuat untuk itu. Anda mesti menjalani situasi sebegini pada setiap musim.
“Realitinya kami tewas perlawanan ini, kami mempunyai satu minggu untuk bangkit dan bersedia untuk menentang Newcastle. Pujian diberikan untuk pasukan lawan, kami tahu bertapa payahnya untuk menentang pasukan Jurgen Klopp, sangat agresif, di Anfield juga. Kami bermain dengan baik selain beberapa minit itu.
“Selepas gol kedua, mereka menjaringkan dua gol dalam beberapa minit dan sukar untuk kami bangkit daripada itu. Di setiap sidang media untuk beberapa bulan ini anda memberitahu gelaran juara Liga perdana telah berakhir dan saya selalu mengatakan ‘tidak, ia masih lagi berlangsung’.
“Kami akan mempertahankan kedudukan kami satu demi satu perlawanan,” tambahnya.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp gembira dengan aksi pasukannya dan berkata ia adalah satu ‘iklan’ yang terhebat untuk Liga Perdana Inggeris.
“Ini adalah permainan bersejarah yang akan dibincangkan dalam tempoh 20 tahun kerana ia kelihatan seperti City tidak akan kalah lagi tahun ini,” katanya.
“Orang ramai menonton perlawanan ini di seluruh dunia dan inilah sebabnya – anda sepenuh hati, bermain di atas padang dan bermain seperti ini, kedua-dua pasukan.
“Kami bermain, saya tidak tahu tahap mana, memberikan mereka masalah seperti neraka. Saya tidak takut pada akhirnya, bukan kerana tidak takut kami menerima gol yang keempat, saya telah mengenali pemain-pemain saya cukup lama sekarang, ia sangat sengit.
“Jika anda menggabungkan kualiti dengan sikap yang anda lihat dalam permainan seperti ini, saya sangat menyukainya.” Kata Klop. – AFP