Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pep terkejut impak Jesus di City

    MANCHESTER, 6 Feb – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa dia sendiri agak terkejut dengan permulaan hebat yang dihasilkan oleh penyerang Brazil, Gabriel Jesus dalam kerjaya bola sepak Inggeris.

    Pemain berusia 19 tahun itu telah menjaringkan dua gol dalam permulaan penuh pertamanya apabila City merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Swansea City semalam, bermakna pemain remaja sensasi itu telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan pertamanya di dalam Liga Perdana.

    Selepas tiba di England awal bulan lepas, Jesus telah muncul sebagai antara prospek menarik dalam liga teratas Inggeris.

    “Ya, Saya terkejut,” kata Guardiola, yang mana pasukannya kini melonjak naik ke tangga ketiga, 10 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

    “Ketika dia datang ke sini selepas mengakhiri musim bersama Palmeiras dan memenangi kejuaraan Brazil, kami mula berbincang.

    Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika memberikan arahan kepada para pemainnya ketika menentang Swansea City. – AP
    Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika memberikan arahan kepada para pemainnya ketika menentang Swansea City. – AP

    “Dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini dia tidak pernah mendapat rehat kerana di Brazil dia bermain banyak perlawanan. Saya berkata, ‘Ambil masa kamu, datang kembali apabila anda sudah bersedia.’

    “Tetapi dia berusia 19 tahun, pemain Brazil biasanya mempunyai fizikal yang kuat dan dia hanya memerlukan beberapa sesi latihan untuk bersedia.

    “Dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah rasa letih, selalu sihat dan pulih dengan pantas. Kami perlu melindunginya, tetapi semua orang tekejut dengan tahapnya.”

    Jesus membuka jaringan di minit ke-11 dengan voli jarak dekat dan telah memberikan kemenangan kepada City di masa kecederaan selepas Gylfi Sigurdsson menyamakan kedudukan dengan perlawanan berbaki sembilan minit.

    “Di dalam petak, dia mempunyai keistimewaan dengan bola,” kata Guardiola.

    “Dia sangat pintar, tahu bila perlu memberikan tekanan kepada pemain pertahanan tengah. “Sebahagian orang memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri, mengenali liga, rakan sepasukan, dan sebahagian orang menyesuaikan diri dengan cepat, dan orang itu tiba seperti ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda