BALI, INDONESIA, 17 JULAI – Kebanyakan negara-negara dalam Kumpulan G20 mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan menggesa agar peperangan ditamatkan semasa rundingan menteri-menteri di Indonesia, kata penganjur mesyuarat dalam ucapan penutup awal hari ini.
Pertemuan menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat yang diadakan dua hari di pusat peranginan di Bali berakhir tanpa kenyataan bersama kerana percanggahan pendapat dengan Rusia mengenai peperangan.
Namun negara-negara Barat mendesak Rusia mengenai serangan ketente-raan, mendakwa Moscow menyebabkan gangguan ekonomi global dan didakwa melakukan jenayah perang semasa pencerobohan.
“Kebanyakan ahli bersetuju bahawa pemulihan ekonomi global telah diperlahankan dan berdepan dengan masalah besar susulan peperangan di Ukraine, yang sangat dikecam dan diseru agar peperangan dihentikan,” Indonesia berkata dalam deklarasi.
Jakarta, yang mengimbangi pendirian dasar luar yang neutral dan akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20 pada November, menggantikan kenyataan bersama dengan kenyataan pengerusi sepanjang 14 perenggan yang tidak termasuk di bawah agenda forum.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/07/P10-A_18072022-1.jpg)
“Satu ahli meluahkan pandangan bahawa sekatan-sekatan telah menambah cabaran yang sedia ada,” katanya, yang dilihat merujuk kepada Rusia, yang menafikan penyebab kepada kemelesetan ekonomi global ketika ini. Selain itu, tiada konsensus menyeluruh daripada G20 mengenai krisis makanan global yang dirumitkan oleh pencerobohan Rusia, mengancam berjuta-juta orang di negara-negara membangun berisiko berdepan kebuluran.
“Majoriti ahli bersetuju bahawa terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keselamatan makanan dan tenaga,” kata wakil Indonesia.
“Ramai ahli bersedia untuk mengambil langkah kolektif.”
Kegagalan untuk meraih kenyataan bersama dibuat seminggu selepas Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov keluar daripada rundingan G20 di Bali selepas kritikan terhadap Moscow.
Rusia hanya mengutus timbalan menteri untuk rundingan tersebut, dengan menteri kewangan menyertainya secara maya.– AFP