Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa peperiksaan lisan bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) yang telah dijadualkan bermula 2 hingga 31 Ogos ini ditunda hingga 10 hingga 31 Januari 2022.
Manakala itu, tiada perubahan pada tarikh peperiksaan bertulis daripada yang telah dijadualkan sebelum ini iaitu pada 15 hingga 29 November depan.
Perubahan tarikh berkenaan diumumkan oleh KHEU dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang turut menambah bahawa pelaksanaan peperiksaan lisan dan bertulis itu masih tertakluk kepada perkembangan semasa jangkitan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan sebarang perubahan tarikh serta maklumat mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei memohon kerjasama pihak sekolah untuk menasihatkan dan mengingatkan semua calon yang akan menduduki Peperiksaan SSSRU supaya terus membuat ulang kaji dan sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan pada tarikh yang telah ditetapkan, di samping terus mengikut apa jua nasihat dan saranan pihak Kementerian Kesihatan.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, bolehlah dirujuk ke Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam melalui e-mel peperiksaan@jpi.edu.bn.