Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peperiksaan sekolah bermula, penerbangan dihadkan

    SEOUL, 16 NOV – Lebih setengah juta pelajar di Korea Selatan menduduki peperiksaan kemasukan universiti penting hari ini, dengan pihak berkuasa mengambil langkah luar biasa seperti mengehadkan penerbangan bagi meminimumkan gangguan.

    Peperiksaan sembilan jam, yang diambil oleh seramai 504,588 pelajar tahun ini, adalah amat penting untuk menjamin kedudukan di universiti teratas. Ia juga dianggap penting untuk meningkatkan status sosial, karier menguntungkan malah prospek perkahwinan.

    Tekanan yang sangat besar yang dikenakan kepada pelajar dalam sistem pendidikan yang sangat kompetitif di Korea Selatan menyebabkan kejadian depresi remaja dan kadar bunuh diri antara yang tertinggi di dunia.

    “Saya gugup dan gemetar kerana apa yang saya pelajari selama tiga tahun berakhir dengan peperiksaan hari ini,” kata Lee Min-yup kepada AFP sebelum pergi mengambil ujian di Sekolah Menengah Kyungbock di pusat Seoul.

    Kepentingan peperiksaan itu dicerminkan dengan langkah agresif pihak berkuasa dalam mencegah sebarang gangguan.

    Untuk mengurangkan gangguan kebisingan semasa ujian mendengar bahasa Inggeris, Kementerian Pengangkutan Seoul telah melaksanakan tegahan ke atas semua penerbangan berlepas dan mendarat yang di luar situasi kecemasan.

    Larangan itu dilaksanakan selama 35 minit, dari 1:05 petang hingga 1:40 petang waktu.

    Semua pesawat penerbangan dikehendaki mengekalkan ketinggian lebih tinggi daripada 3,000 meter dalam masa terhad kecuali pesawat dalam keadaan darurat. Lebih 90 penerbangan terpaksa dijadualkan semula kerana peperiksaan. – AFP

    Gambar AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda