KUALA LIPIS – Melihat kepada perabot serta perhiasan yang cantik itu, mungkin ramai tidak tahu sebenarnya bahan yang dipakai hanyalah serpihan kayu terbuang, dan ada yang dikutip di permukaan sungai atau di dalam gua.
Malah tidak perlu menebang pokok dan sudah tentunya dapat membantu memelihara alam sekitar serta kepelbagaian biologi, seperti yang dilakukan oleh pengusaha perabot Faizuri Abdul Kadir, 36, menerusi daya kreatifnya.
Dengan hanya mengutip sisa kayu terbuang dan dahan pokok terbiar di kawasan hutan dan gua berhampiran, pelbagai produk kraf tangan dan perabot dapat dihasilkan, antaranya pasu, senduk, lesung, pemegang pintu dan meja makan.
Segalanya bermula pada akhir tahun 2018 apabila beliau melihat banyak kayu terbiar yang masih elok di tepi jalan, di dalam hutan dan sekitar gua, selepas banjir, di sekitar kampungnya, Kampung Chegar Perah, terletak sekitar 47 kilometer dari pekan Kuala Lipis, Pahang.
“Ketika itu, banyak kayu yang hanyut mempunyai struktur yang kukuh malah kadangkala ada orang membuangnya di depan rumah. Saya dapati kayu itu masih elok dan strukturnya kukuh jadi saya pun terfikir untuk memanfaatkannya.
“Kebetulan pula bengkel saya memang kekurangan kayu dan untuk menjimatkan kos, saya mula mengutip kayu terbuang sama ada yang sudah dipotong mahupun yang masih elok untuk membuat perabot dan produk berasaskan kayu,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata, kedudukan rumahnya yang terletak hanya beberapa meter dari tebing Sungai Tanum memudahkan juga untuk mendapatkan kayu hanyut selain kayu yang dibuang dari rumah penduduk dan industri.
Diusahakan dengan abang
Fazuri mengusahakan bengkel perabot, KZ Bakti Enterprise, di kampungnya bersama abang sulungnya, Isamazazarudin Abdul Kadir, 42, dan sebelum menceburi bidang pembuatan perabot, beliau bekerja selama kira-kira10 tahun dalam sektor perbankan di Kuala Lumpur.
Beliau mula berminat dalam pembuatan perabot apabila menonton banyak video mengenainya di YouTube.
Selain menumpukan kepada penghasilan produk kayu, perabot serta bahan binaan struktur rumah seperti kerawang pagar dan pemegang pintu, bengkel adik-beradik ini turut menghasilkan produk kecil seperti senduk, lesung, sudip, papan pemotong sayur, sudu, papan ukiran dan pelbagai barangan cenderahati.
Hasil yang menarik dan berkualiti membuatkan mereka mendapat permintaan tinggi daripada pelancong tempatan dan luar negara dengan pelanggan datang ke bengkel untuk mendapatkannya ataupun menerusi platform Shopee dan Lazada.
“Kami menghasilkan sebanyak lapan jenis produk berasaskan kayu yang dijual dari harga RM25 hingga RM4,000.
“Produk yang paling tinggi harganya adalah meja yang berukuran 2.7 meter x 1.2 meter dengan harganya kira-kira RM4,000. Kami mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkannya sejurus selepas mendapat bekalan kayu terbuang,” katanya.
Menurut Faizuri, setiap minggu beliau dan abangnya akan meronda menaiki motosikal kawasan kampung mereka termasuk ke gua di sekitar Merapoh dan Kuala Lipis bagi mendapatkan bekalan kayu terbuang.
Selain ke Gua Temalong, mereka juga turut ke gua lain yang terdapat di sekitar Lembah Tanum.
“Kadang kala kami bersama sepupu dan penduduk kampung yang lain menaiki bot untuk mengutip kayu-kayu yang hanyut di permukaan sungai dan membawa balik ke bengkel untuk mengeringkannya, seterusnya menghasilkan produk kayu untuk dijual,” tambahnya.
Kekalkan keaslian kayu
Kebanyakan jenis kayu yang dijumpai ialah kayu kemuning batu, merbau, nangka, tembusu dan halban.
Menurut Faizuri, kayu jenis halban adalah antara yang kukuh kerana mempunyai bara yang lama dan sesuai dijadikan kayu api untuk memasak secara gotong-royong.
Beliau turut mengekalkan keaslian kayu buangan yang dikutip termasuk menjadikan sesetengah produk kelihatan reput dan retak di tengah-tengah.
“Sebenarnya produk seperti ini laris kerana prinsip saya mahu mengekalkan keaslian kayu itu dan tidak mahu ‘mengusiknya’ kerana itu juga adalah seni yang dapat menjadikan sesuatu produk itu unik.
“Kebanyakan kayu jenis ini ialah kemuning batu yang terdapat di sekitar Gua Temalong, sama ada di bawah pokok mahupun di dalam gua,” katanya menambah, kayu jenis kemuning batu sukar dijumpai di tempat lain selain gua.
Di samping faktor seni halus pembuatan dan warna kayu, harga rendah yang ditawarkan turut menjadikan produknya mendapat permintaan menggalakkan terutama dalam kalangan pelancong asing yang berkunjung ke Lembah Tanum untuk berkayak dan melawat gua berhampiran.
“Lazimnya mereka membeli dua hingga lima produk untuk dibawa pulang ke negara mereka. Kebanyakannya membeli pasu, papan pemotong sayur dan lesung selain untuk kegunaan dapur, ada juga dalam kalangan mereka yang membeli untuk dijadikan hiasan selain sebagai cenderahati,” tambahnya.
Pamer hasil seni
Faizuri berkata, sepanjang tahun 2023 ini beliau dipelawa untuk menyertai banyak program pameran dan jualan anjuran pelbagai pihak di seluruh negara untuk mempamerkan hasil seni mereka daripada kayu terbuang.
Pameran seperti itu membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk menyebarkan kesedaran berhubung pentingnya menjaga biodiversiti hutan dengan tidak menebang pokok semata-mata untuk mendapatkan kayu berkualiti membuat perabot.
“Sebenarnya, kayu terbuang juga boleh dijadikan perabot dan produk berkualiti, cuma ramai yang tidak menyedari akan manfaatnya dan sangat sayang apabila mereka membuang begitu sahaja selepas dipotong walaupun ada kayu lebih.
“Kami sentiasa memanfaatkan kayu terbuang yang ada di tepi jalan, sekitar gua, hutan mahupun di sungai dan secara tidak langsung membantu membersihkan sungai, seterusnya membantu menjaga keselamatan bot yang menggunakan laluan sungai,” katanya.
Menurut Faizuri, selain mengambil tempahan perabot mengikut permintaan pelanggan menerusi pameran dan secara dalam talian, hasil produk berkenaan boleh dibeli di Shopee dan Lazada dengan carian KZ Bakti Enterprise. – Bernama