Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peraduan cipta pantun meminang perkasakan budaya Melayu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Seramai 17 peserta daripada pelbagai peringkat umur telah menyertai Peraduan Mencipta Pantun Meminang: Bertulis Spontan yang diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas pagi tadi.

    Peraduan anjuran Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, DBP ini merupakan julung-julung kalinya diadakan sebagai salah satu inisiatif untuk mengembangkan budaya berpantun dalam adat perkahwinan, khususnya dalam adat meminang.

    Pertandingan berkenaan juga bertujuan untuk memupuk semangat cintakan kesenian dan kebudayaan bangsa, memelihara budaya berpantun dalam adat perkahwinan serta sebagai nilai tambah dalam usaha mendokumentasi pantun-pantun warisan Melayu.

    Tidak seperti pertandingan pantun yang pernah dianjurkan sebelum ini, peraduan kali ini mengetengahkan mekanisme unik iaitu penciptaan pantun secara bertulis spontan dalam masa satu jam 30 minit yang mana ia menguji ketajaman minda, kepantasan berfikir serta keupayaan berbahasa para peserta dalam menghasilkan pantun meminang yang berbentuk berbalas.

    Format pertandingan mensyaratkan penyediaan 11 rangkap pantun empat kerat daripada kedua-dua pihak lelaki dan perempuan yang meliputi bahagian mukadimah, inti dan penutup.

    Pantun meminang merupakan sebahagian daripada seni lisan penting dalam adat perkahwinan Melayu yang bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi antara dua buah keluarga, malah mencerminkan nilai kesantunan dan budi bahasa masyarakat Melayu.

    DBP berharap peraduan berkenaan dapat menjadi platform berkesan untuk memperkasakan semula budaya berpantun dalam adat perkahwinan serta menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, tentang pentingnya mewarisi khazanah budaya bangsa yang bernilai tinggi.

     Semua di atas: Antara suasana semasa pertandingan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda