Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa 2020 serta memberi pendedahan kepada para pelajar dan golongan belia tentang bidang penterjemahan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Peraduan Menterjemah Mutiara Kata.
Peraduan dibukakan kepada para pelajar dan belia berumur antara 13 hingga 20 tahun yang terdiri daripada warga dan penduduk tetap negara ini.
Setiap peserta dibenarkan menghantar satu penyertaan sahaja, di mana mereka dikehendaki memilih 10 mutiara kata iaitu lima daripada set Bahasa Melayu diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris dan lima lagi daripada set Bahasa Inggeris diterjemahkan dalam Bahasa Melayu.
Juara peraduan akan memenangi hadiah berupa $300, naib juara $200 dan tempat ketiga akan memenangi $100 sementara tiga pemenang sagu hati pula akan membawa pulang $75 setiap seorang.
Teks terjemahan mestilah dihantar dalam empat salinan termasuk salinan asal, dan semua penterjemahan hendaklah asli.
Borang penyertaan dan teks sumber disediakan DBP.
Borang yang lengkap diisi dan teks terjemahan yang siap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat bersaiz A4 yang bertutup rapat, dan dihantar kepada Urus Setia, Peraduan Menterjemah Mutiara Kata, Unit Penterjemahan, Tingkat 3 Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP, Jalan Pembangunan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Tarikh tutup menghantar penyertaan adalah pada 13 Jun 2020 jam 4 petang.
Peraduan berkenaan merupakan kesinambungan daripada Bengkel Penterjemahan: Menterjemah Mutiara Kata yang dilaksanakan sempena Pesta Buku Brunei 2020.
Antara objektifnya adalah untuk memberikan pendedahan para pelajar dan belia mengenai bidang penterjemahan dan memupuk minat golongan ini supaya bersiap sedia meneroka pelbagai bidang ilmu menerusi penterjemahan kerana kebanyakan sumber ilmu adalah dalam bahasa asing khususnya Bahasa Inggeris dan melahirkan lebih ramai pelapis penterjemah negara.