Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan telah menganjurkan peraduan fotografi dengan mengangkat tema Brunei Darussalam: Permata yang Tersembunyi. Peraduan fotografi yang diungkayahkan pada tahun ini adalah sebagai satu usaha dan tindakan jabatan ini untuk mengangkat kepelbagaian karya seni foto yang terbaik serta berkualiti.
Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah bagi para pemenang peraduan tersebut telah diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian hadiah, cenderamata dan sijil penghargaan kepada para pemenang, panel hakim dan rakan-rakan strategik (penaja) ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Menerusi peraduan berkenaan, pihak urus setia peraduan telah menerima seramai 152 orang peserta dengan 309 keping gambar, iaitu 35 orang peserta daripada Kategori Khas dengan 59 keping gambar; 40 orang peserta daripada Kategori Burung dengan 90 keping gambar dan 77 orang peserta daripada Kategori The Golden Hour dengan 160 keping gambar.
Bagi Kategori Khas, johan dimenangi oleh Awang Mohamad Azlan bin Mohd Jefri; diikuti dengan Chua Hui Wen sebagai naib johan dan Abang Muhammad Saifulizam bin Abang Zamhor di tempat ketiga.


Sementara itu, pemenang johan bagi Kategori Burung telah diperolehi oleh Awang Mohamad Azlan dan naib johan diterima oleh Awang Mohammad Suffri bin Awang Osman serta Awang Zainury bin Zainal Abidin @ Vynner selaku penerima hadiah di tempat ketiga.
Manakala bagi Kategori The Golden Hour, johan dirangkul oleh Awang Muhammad Waliyuddin bin Ahmad; diikuti dengan Dayang Faridah binti Haji Jaya sebagai naib johan dan Awang Ahmad Faisaldin bin Haji Tuah menerima hadiah di tempat ketiga.
Dalam setiap kategori, johan menerima hadiah wang tunai $500, hadiah tajaan dan sijil penghargaan; pemenang naib johan menerima wang tunai $300, hadiah tajaan dan sijil penghargaan; dan hadiah di tempat ketiga menerima wang tunai $200, hadiah tajaan dan sijil penghargaan.
Para panel hakim peraduan pula terdiri daripada Rudolf Portillo, Awang Muhammad Haziq bin Haji Sahminan dan Awang Muhammad Muaz bin Haji Rosman.
Majlis diisikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang juga selaku pengerusi majlis. Seterusnya diikuti dengan penyampaian hadiah, cenderamata serta sijil kepada para pemenang, panel hakim dan rakan-rakan strategik.
Antara tujuan peraduan berkenaan diadakan adalah untuk memberigakan peranan DBP sebagai sebuah agensi kerajaan yang menyalurkan pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah bidang seni fotografi; dan melahirkan dan mengangkat karya-karya foto yang berkualiti dan bernilai tinggi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP); setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); pengarah-pengarah di KSSUP dan KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya; pegawai-pegawai kanan kerajaan, panel hakim, rakan-rakan strategik dan peserta-peserta peraduan tersebut.

