Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Seramai 48 orang peserta dari Global Art Brunei menyertai Peraduan Seni Melukis dan Mewarna Kebangsaan 2018 Global Art di Kompleks Membeli-belah Timesquare hari ini.
Peraduan bersempena menyambut Ulang Tahun Penubuhan Global Art di Brunei Darussalam itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A bagi umur empat hingga enam tahun, Kategori B bagi umur tujuh hingga sembilan tahun dan Kategori C bagi umur 10 hingga 15 tahun.
Peraduan bertemakan ‘Celebration’ memberi peluang kepada para peserta meneroka pelbagai jenis perayaan dengan menggabungkan kepelbagaian budaya, imaginasi, inovasi serta kreativiti.
Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan antara para peserta dan meluangkan masa berkualiti bersama ibu bapa dan penjaga, sambil menghalusi bakat mereka terutama dalam bidang lukisan dan mewarna.
Dalam keputusan akhir peraduan, Kategori A dimenangi oleh Dayangku Aida Safina binti Pengiran Haji Mohd Azri, sementara pemenang Kategori B disandang oleh Dayang Alana Zahra binti Haji Abdul Haadi, manakala Kategori C dimenangi oleh Matthew Ang Chin Gui.
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Global Art, Ajin Thong di akhir acara.
Setiap juara kategori menerima hadiah berupa hamper bernilai $100, piala dan sijil penyertaan. Manakala di tempat kedua menerima hamper bernilai $80 dan ketiga menerima hamper bernilai $50, masing-masing juga menerima piala dan sijil penyertaan.
