ISLAMABAD, 31 Ogos – Beribu-ribu penduduk Islam Pakistan telah menghentikan perhimpunan mereka di Islamabad hari ini, berikutan pembatalan peraduan kartun anti-Islam yang dianjurkan oleh seorang ahli parlimen Belanda.
Pembatalan itu dibuat beberapa jam selepas ahli politik pembangkang berhaluan kanan, Geert Wilders semalam berkata dia membatalkan peraduan itu berikutan ancaman mati dan bimbang akan keselamatan orang lain yang berada dalam risiko akibat peraduan itu.
Keputusan itu mendorong seorang ulama Pakistan yang juga mengetuai parti Tehreek-i-Labaik, Khadim Hussain Rizvi, untuk mengakhiri perhimpunan hari ini. Perhimpunan itu bermula Rabu lalu dari bandar timur Lahore, bertujuan sebagai bantahan besar-besaran umat Islam Pakistan terhadap peraduan kartun anti-Islam tersebut.
Rizvi telah merancang untuk bersidang di parlimen dan memaksa kerajaan Pakistan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Belanda akibat peraduan itu. – AP
