Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Peraduan Mewarna Pelajar Sekolah Rendah Brunei kali ke 4 dengan tema The 19th Asian Games Hangzhou telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan 166 penyertaan.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 30 orang peserta telah terpilih dan menerima hadiah pada majlis penyampaian hadiah dan perasmian pameran peraduan anjuran Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan berkenaan yang berlangsung di Pusat Membeli-Belah, Onecity, Jalan Salambigar hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Tajuddin. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mut-lak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.
Majlis menyaksikan Dayang Siti Nurul Ain Bazilah binti Rahim dari Sekolah Pai Yuek dan Dayang Carrie Adrienne binti Haji Danny dari Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS) dinobatkan sebagai pemenang teratas peraduan berkenaan.
Sementara itu, tiga peserta terpilih sebagai pemenang pertama iaitu Dayang Nur Atika Adillah binti Haji Abdul Zamri dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Felix Lim Jia Le dari SMSS dan Jarsen Yeo dari Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana.
Tempat kedua pula dimenangi oleh lima peserta, dan lapan orang memenangi tempat ketiga, manakala itu, 12 orang menerima hadiah sagu hati.
PYT Yu Hong dalam ucapannya berkata, The 19th Asian Games Hangzhou merupakan acara pelbagai sukan yang akan diadakan pada tahun depan, bermula 23 September 2023.
Peraduan mewarna berkenaan telah diadakan selama empat tahun berturut-turut, dan penyertaan pada tahun ini mendapat sambutan daripada 28 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta.
Majlis diteruskan perasmian pameran hasil karya pelajar yang disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati dan PYT Yu Hong yang diikuti dengan lawatan pameran yang akan berlangsung hingga 25 November.