Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Pusat Kanak-kanak Cacat (KACA), hari ini, telah mengadakan majlis penyampaian hadiah sebagai galakan kepada kanak-kanak KACA yang menyertai program dan aktiviti sepanjang 2020.
Penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat KACA, Kiulap telah disempurnakan oleh Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi Senyum KACA 2020 untuk kategori Kanak-kanak, Kategori Ibu bapa, Sukarelawan dan Kategori Ahli Jawatankuasa dan Kakitangan KACA selain penyampaian sijil kepada kakitangan dan sukarelawan In House Training.
Majlis berkenaan juga bertujuan untuk memberi galakan kepada kanak-kanak KACA supaya mengambil bahagian dalam peraduan Sempena Ulang Tahun KACA ke-34 dan tahun ini, 64 orang kanak-kanak KACA telah ikut serta dalam peraduan berkenaan.
Turut hadir menyaksikan penyampaian hadiah tersebut ialah pengarah urusan KACA, ibu bapa kanak-kanak KACA, kakitangan dan sukarelawan KACA.

