JAKARTA, 23 MAC – Seorang wanita warga Australia maut manakala sekurang-kurangnya seorang lagi cedera selepas sebuah perahu yang membawa 16 orang karam di perairan bergelora berhampiran pulau peranginan Bali, Indonesia, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Perahu Sea Dragon 2 sedang dalam perjalanan ke Nusa Penida, sebuah pulau popular berhampiran Bali, pada pagi Jumaat apabila ia dihempas ombak besar, kata Ketua Polis Nusa Penida, Ida Bagus Putra Sumerta kepada AFP.
Kesemua penumpang, termasuk 11 pelancong dari Australia, berjaya diselamatkan oleh sebuah perahu berhampiran.
Menurut Ida, sekurang-kurangnya dua orang dihantar ke hospital, dengan seorang pelancong disahkan meninggal dunia. Seorang lagi mengalami kecederaan akibat melecur.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) mengesahkan sekurang-kurangnya dua warga Australia cedera dan pihaknya sedang memberikan bantuan konsular kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dalam saat sukar ini,” menurut kenyataan tersebut.
Kejadian kemalangan laut sering berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan dengan kira-kira 17,000 pulau.
Pada tahun 2018, lebih daripada 150 orang maut selepas sebuah feri karam di salah satu tasik paling dalam di dunia di Pulau Sumatra. – AFP
