Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perahu solar serikan Tebingan Kuching

    KUCHING – Suatu ketika dahulu, lampu kerosin atau lampu gas yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan bakar merupakan ‘teman akrab’ kepada pengusaha perahu tambang di sekitar Tebingan Kuching di sini terutamanya ketika membawa penumpang pada waktu malam.

    Berbeza sekarang apabila rata-rata teksi air ikonik Sarawak yang wujud sejak berabad lamanya ini, kini dilengkapi dengan panel solar di bumbung, sekali gus membantu menjana kuasa bagi menghidupkan pelbagai jenis lampu hiasan yang dipasang pada perahu.

    Evolusi gabungan tradisional dan moden itu menyaksikan kebanyakan pengusaha memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni pada bumbung perahu dan ada yang memasang lampu di dalam perahu untuk keselesaan penumpang dengan menggunakan tenaga yang dijana menerusi panel solar sebesar 0.3 hingga 1.2 meter berkenaan.

    Usaha itu sekali gus menambah warna-warni pada pemandangan di sepanjang Tebingan Kuching dan Sungai Sarawak, yang berlatarbelakangkan Bangunan Dewan Undangan Negeri dan Jambatan Darul Hana.

    Bagi Awie Nawi, 56, yang mengusahkan perahu tambang sejak 20 tahun lepas, pemasangan lampu solar berkenaan amat memudahkannya kerana tidak perlu lagi membeli minyak tanah atau mengecas bateri kering seperti sebelum ini untuk menghidupkan lampu.

    Rata-rata perahu penambang di sekitar Tebingan Kuching dilengkapi dengan panel solar di bumbung perahu mereka. – Bernama

    “Ini semua kerajaan negeri bagi, jadi tak perlu lagi susah-susah, kalau guna sistem solar ini waktu siang boleh cas sendiri, lepas tu boleh guna. Tak payah lagi cas berhari-hari macam guna bateri kering dulu,” katanya sambil menambah dia hanya mengenakan kadar tambang RM1 bagi perjalanan sehala dari Tebingan Kuching ke bahagian seberang.

    Awie berkata tenaga solar berkenaan juga memudahkannya untuk mengecas peralatan seperti telefon bimbit di dalam perahu itu.

    Saini Bujang, 65, pula berkata walaupun pada mulanya agak berat hati ketika ditawarkan untuk pemasangan panel solar berkenaan, dia menyedari banyak manfaat yang diperoleh, antaranya penjimatan kos hampir 90 peratus berbanding sebelum ini.

    “Minyak tanah kalau dulu memang mahal dan kadang-kadang bekalan susah mahu dapat, sekarang ini senang guna tenaga matahari secara percuma sahaja sudah boleh hidupkan lampu dan guna peralatan elektrik,” katanya.

    Menurut Saini, penggunaan lampu menerusi tenaga solar juga lebih cekap tenaga dan tidak terjejas dengan cuaca hujan, berbanding penggunaan lampu kerosin yang boleh terpadam sekiranya terkena air. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda