Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 26 April – Seorang pemuda tempatan berusia 28 tahun telah dilaporkan hilang apabila perahu yang dinaiki bersama rakannya terbalik di kawasan berdekatan Laut Bubut, Telisai, pagi tadi.
Semasa kejadian itu, mangsa, Awang Mohammad Haziq bin Haji Awang Harun sedang memancing bersama rakannya, Awang Mohammad Khairul bin Jamil yang turut terjatuh ke dalam laut bagaimanapun terselamat, menurut laporan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Menurut mangsa yang terselamat, perahu yang dinaiki telah hilang kawalan mengakibatkan kedua-dua mereka tercampak ke dalam laut.
Operasi mencari Awang Mohammad Haziq kini masih lagi dijalankan oleh pihak agensi penyelamat yang terlibat iaitu Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta SAR BSP.
Menurut laporan, semasa kejadian mangsa memakai baju biru putih dan berseluar hitam.
