LABUAN, 24 FEB – Jabatan Perikanan Labuan hari ini mengesahkan sampel air yang diambil dari perairan Labuan susulan fenomena air pasang merah di Sabah, kini bebas daripada sel pyrodinium bahamense var. compressum (dinoflagelat) yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.
Pengarahnya, Faizal Ibrahim Suhaili berkata lokasi pengambilan sampel air dilakukan di sekitar Batu Manikar, Tanjung Aru dan Lubok Temiang.
Beliau berkata pihak jabatan memantau fenomena itu sejak air pasang merah dikesan pada 16 Februari lepas di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah.
Pemantauan dan penilaian juga dilakukan terhadap sampel air yang diambil dari kawasan Tanjung Kubong dan Rancha-Rancha.
“Setakat ini, kita telah melakukan yang terbaik untuk memantau keadaan tetapi orang ramai perlu dinasihatkan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan membersihkan makanan laut dengan teliti sebelum memakannya.
Air pasang merah dinamakan sedemikian selepas warna kemerahan dihasilkan plankton bertoksin dan hidupan laut tertentu yang memakan plankton tercemar sekali gus menyebabkan kematian di Sabah pada awal 1980an.
Toksin itu boleh membunuh ikan, kerang-kerangan berbahaya untuk dimakan, dan menyebabkan udara di sekeliling sukar bernafas untuk manusia dan haiwan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P9-1a-AIR-PASANG_25022023.jpg)