Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perak FC benam Geylang di Ipoh

    IPOH, 24 MAC – Perak FC memberi laungan awal bakal bangkit menjadi antara pasukan yang digeruni musim ini selepas mudah menjinakkan Geylang International FC dari Singapura 3-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pramusim di Stadium Perak, malam tadi.

    Meskipun terlalu awal untuk menilai pasukan ‘baharu’ kendalian Yusri Che Lah itu, namun keputusan malam tadi nyata pasti menggembirakan 2,060 penyokong Perak yang hadir ke stadium.

    Yusri pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi berkata walaupun pasukannya mencatat kemenangan, namun ia bukan penanda aras pasukan yang dibentuk berada pada tahap terbaik dan masih terdapat kelemahan serta ruang yang perlu diperbaiki.

    “Objektif utama untuk menguji pemain beraksi di tahap yang lebih tinggi dan lebih mencabar khususnya pemain tempatan dan import baharu. Mungkin kita akan rombak lagi kerana masih berbaki tiga lagi perlawanan persahabatan pramusim. Apa yang saya ingin lihat kombinasi serta keserasian antara pemain baharu,” katanya.

    Beliau pada masa sama turut memuji persembahan anak buahnya dalam persiapan pasukannya menghadapi saingan liga yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Mei depan.

    Skuad The Bos Gaurus yang berada di kedudukan 11 selepas tamat saingan Liga Super 2023 dengan mengutip 22 mata dilihat lebih ‘bernafsu’ musim ini apabila menjadi antara pasukan yang paling rancak membawa masuk ramai pemain baharu bagi mengisi kelompongan dalam pasukan.

    Pasukan yang popular dengan jolokan Kejor Yeop Kejor itu setakat ini berjaya mengikat sembilan pemain baharu termasuk tiga pemain import dan dikhabarkan hanya menunggu seorang lagi pemain import untuk melengkapkan pasukan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda