SEOUL, 1 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini memaklumkan bahawa perakam data penerbangan daripada pesawat Jeju Air yang terhempas akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk analisis, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Jadual tepat penghantaran perakam penerbangan itu akan ditentukan melalui perundingan dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS, lapor agensi itu, memetik taklimat daripada Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.
Perakam penerbangan yang ditemukan sebelum ini daripada serpihan pesawat Jeju Air B737-800 di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dilaporkan mengalami kerosakan luaran.
Bagaimanapun, pihak berkuasa telah selesai mengekstrak data daripada perakam suara kokpit, yang berada dalam keadaan lebih baik dan kini sedang menukar data itu kepada fail suara, menurut kementerian berkenaan.
Sementara itu, dua penyiasat tambahan daripada syarikat pembuat pesawat Boeing Co. telah menyertai siasatan di lokasi nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, menurut sumber kerajaan.
Dengan penambahan ini, jumlah anggota pasukan dari AS meningkat kepada 10 orang, termasuk enam daripada Boeing dan tiga daripada NTSB.
Menurut sumber, pasukan dari AS menambah bilangan anggota untuk memastikan pemeriksaan menyeluruh terhadap kemalangan itu. – Bernama