Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peralatan kemas mudahkan trip memancing

    Oleh Raz AS –

    Pemancing dan peralatan tidak dapat dipisahkan. Semakin lama minat seseorang itu bergiat dalam memancing, maka akan bertambah koleksi peralatannya merangkumi joran, lure, mata kail, kili-kili, batu ladung, tali pancing dan pelbagai lagi jenis peralatan.

    Sama ada peralatan tersebut sering digunakan atau sekadar menjadi perhiasan kadang-kadang disebabkan oleh jumlahnya yang terlalu banyak, ada di antaranya yang didapati bersepah atau bertaburan sama ada di dalam stor, bot, kereta, beg termasuk kotak pancing.

    Di dalam stor, batang-batang joran bersandaran dan berselerak di atas lantai. Peralatan-peralatan terminal pula hanya diselitkan sahaja di mana-mana tempat dan tidak tersusun rapi.

    Jika diselongkar secara teliti di dalam kereta, bot dan beg kadang-kadang akan terjumpa peralatan terminal seperti batu ladung, loceng pancing dan mata kail.

    Apabila melihat barang-barang yang bersepah tersebut akan timbul rasa insaf seketika dalam sanubari untuk mengemas, namun demikian setelah beberapa minit melihat-lihat peralatan-peralatan tersebut tiba-tiba terasa pula keinginan hendak turun memancing.

    Peralatan yang tersusun rapi memudahkan pemancing membuat persediaan dan mengatur strategi sebelum trip memancing seterusnya. – GAMBAR OLEH LOJO FISHING
    Gambar Envato

    Batang pancing digenggam, kotak pancing diangkat dan barang-barang yang bersepah dibiarkan begitu sahaja.

    “Setelah pulang nanti akan dikemas semuanya, ” hati membisikkan janji, atau lebih teruk lagi “esok sahaja mengemas sebab letih hari ini,” namun kebenarannya adakah janji akan tertunai atau janji hanya tinggal janji? Wallahualam.

    Peralatan yang tersusun rapi sebenarnya adalah antara salah satu rahsia untuk menjadi seorang pemancing yang berjaya. Ia membantu kita untuk lebih senang mengatur strategi dan membuat persediaan.

    Apa yang tidak kelihatan di mata, kemungkinan terlintas dalam fikiran untuk kita menggunakannya adalah kecil.

    Bayangkan senario di mana awda telah membeli beberapa peralatan terminal beberapa bulan lalu, contohnya mata kail atau lure untuk digunakan ketika memancing di suatu tempat yang sesuai dengan jenis atau saiz peralatan tersebut.

    Sebaik saja sampai ke rumah dari kedai, peralatan itu awda letakkan sahaja di mana-mana tempat atau dibiarkan dtimbuni oleh peralatan-peralatan pancing yang lain.

    Semasa awda turun memancing di tempat tersebut barulah tersedar yang peralatan tersebut tidak ada dalam kotak pancing yang dibawa, ataupun sama sekali terlupa akan kewujudannya. Setelah berhari-hari, berminggu-minggu atau berbulan-bulan baru tersedar keberadaan peralatan itu disimpan atau telah dimiliki.

    Apabila setiap peralatan tersusun rapi mengikut kategori dan jenis-jenisnya, senanglah untuk pemancing membuat persediaan dan menyusun strategi sebelum turun memancing di kemudian hari.

    Hendak turun memancing udang galah, memancing di sungai atau di laut, ikan kecil atau ikan besar, hendak memancing dengan teknik dasar, berpelampung atau casting, setiap peralatan yang sesuai digunakan bagi tujuan tersebut sudah tersedia di tempatnya masing-masing.

    Otak pun tidak kusut memikirkan peralatan mana yang perlu dibawa, yang mana sebaiknya ditinggalkan, sama ada peralatan yang diperlukan sudah ada dalam simpanan atau awda perlu mendapatkannya terlebih dahulu.

    Sama ada disimpan di dalam beberapa laci kecil atau kontena yang ditandakan menggunakan pen penanda, awda cuma pilih sahaja lagi peralatan yang sesuai digunakan dan seberapa banyak yang diperlukan untuk satu-satu trip memancing tersebut.

    Dengan yang sedemikian pemancing akan lebih bersedia dan kotak pancing yang dibawa akan lebih ringan kerana tidak dipenuhi peralatan-peralatan yang tidak sesuai untuk digunakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda