Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peralatan memancing udang galah

    Oleh Raz AS –

    Memancing udang galah merupakan salah satu aktiviti rekreasi yang semakin mendapat tempat di hati para peminat hobi memancing. Udang galah bukan sahaja digemari kerana keenakan isinya, malah proses menangkapnya juga memberi pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan.

    Untuk memastikan hasil tangkapan yang memberangsangkan, pemancing perlu memahami dan menggunakan peralatan yang sesuai. Pemilihan peralatan yang betul bukan sahaja meningkatkan peluang untuk memperoleh udang galah yang besar, malah dapat meminimumkan kerugian dari segi masa dan tenaga.

    Peralatan utama dalam memancing udang galah bermula dengan joran. Joran yang digunakan untuk memancing udang galah biasanya lebih pendek dan ringan berbanding joran untuk ikan, kerana udang galah mempunyai gaya tarikan yang lembut dan tidak sekuat ikan pemangsa.

    Joran ultralight panjang 6 kaki ke bawah selalunya menjadi pilihan utama. Material joran juga memainkan peranan penting; joran daripada bahan grafit atau komposit yang ringan dan sensitif amat digemari kerana ia mampu mengesan pergerakan halus udang yang sedang mencubit umpan.

    Selain joran, reel juga perlu sesuai dengan aktiviti ini. Spinning reel bersaiz kecil antara 500 hingga 1000 sudah mencukupi. Ia ringan, mudah dikendalikan dan sesuai untuk tali pancing halus yang biasa digunakan dalam memancing udang.

    Bagi peminat aktiviti luar yang mencari ketenangan serta cabaran, memancing udang galah sememangnya satu pilihan yang tidak mengecewakan. – GAMBAR OLEH RAZ AS

    Tali pancing yang digunakan biasanya mempunyai kekuatan antara 4lb hingga 10lb. Tali yang lebih halus bukan sahaja memudahkan lontaran, malah lebih sensitif terhadap gigitan udang. Sesetengah pemancing gemar menggunakan tali sulam (braided line) kerana ia lebih sensitif dan tidak mempunyai regangan, tetapi tali monofilamen juga sering digunakan kerana ia lebih murah dan senang didapati.

    Seterusnya, peralatan penting yang tidak boleh diketepikan ialah mata kail. Mata kail untuk memancing udang galah biasanya bersaiz kecil, bergantung kepada saiz udang di kawasan tersebut. Mata kail udang galah direka khas dengan bentuknya yang tersendiri dan hujung yang tajam untuk memastikan kail mudah tertusuk apabila udang mencubit umpan.

    Meskipun begitu penggunaan mata kail biasa yang bersaiz kecil juga boleh digunakan.

    Selain itu, penggunaan perambut juga penting untuk mengelakkan tali utama dari terputus, terutama jika kawasan memancing mempunyai struktur seperti kayu atau batu di dasar sungai. Perambut yang biasa digunakan mempunyai panjang sekitar 6 hingga 12 inci, selalunya daripada jenis monofilamen. Ada juga pemancing yang menggunakan teknik perambut cabang, di mana beberapa mata kail disusun pada satu perambut bagi meningkatkan peluang tangkapan.

    Umpan memainkan peranan yang sangat besar dalam kejayaan memancing udang galah. Antara umpan yang paling berkesan termasuklah cacing tanah, anak udang, isi ikan atau hati ayam. Umpan perlu dicangkuk dengan kemas supaya tidak mudah tanggal apabila dicubit udang.

    Tambahan pula, aksesori kecil seperti batu ladung juga memainkan peranan dalam keberkesanan teknik memancing. Ladung yang digunakan perlu cukup berat untuk memastikan umpan jatuh ke dasar sungai, namun tidak terlalu berat hingga susah untuk mengesan kehadiran udang mencubit umpan.

    Terdapat juga pemancing yang menggunakan set pancing udang khas yang dijual di pasaran, lengkap dengan joran, reel dan aksesori lain. Set ini sesuai untuk pemula yang ingin mencuba aktiviti ini tanpa perlu membeli peralatan berasingan. Walau bagaimanapun, bagi pemancing yang lebih berpengalaman, mereka selalunya lebih gemar menyusun sendiri peralatan mengikut kesesuaian dan cita rasa masing-masing.

    Lokasi memancing juga turut menentukan jenis peralatan yang digunakan. Jika memancing di kawasan sungai yang tenang dan cetek, peralatan ringan dan sensitif lebih sesuai.

    Namun jika memancing di kawasan yang berarus kuat, joran yang lebih karau mungkin diperlukan.

    Faktor cuaca dan musim juga memainkan peranan; udang galah lebih aktif selepas hujan atau ketika air sungai mulai surut. Oleh itu, selain daripada peralatan, pengetahuan mengenai habitat dan tabiat udang juga penting.

    Akhir sekali, kesabaran dan kemahiran memancing memainkan peranan utama. Memancing udang galah bukan sekadar tentang peralatan yang digunakan, tetapi juga melibatkan teknik, ketekunan dan pengalaman. Dengan latihan yang berterusan serta penggunaan peralatan yang sesuai, sesiapa sahaja mampu menikmati pengalaman memancing udang galah dengan lebih menyeronokkan dan berkesan.

    Bagi peminat aktiviti luar yang mencari ketenangan serta cabaran, memancing udang galah sememangnya satu pilihan yang tidak mengecewakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda