Peralatan tersusun rapi rahsia kejayaan

Oleh Raz AS

Setelah beberapa tahun berkecimpung dalam dunia pancing, pasti ramai antara kita yang telah mengumpulkan banyak peralatan-peralatan pancing seperti lure, mata kail, kili-kili, batu ladung, tali perambut dan lain-lain.

Kadang-kadang kerana jumlahnya yang terlalu banyak, ada di antaranya yang bersepah atau bertaburan tempatnya sama ada di dalam stor tempat kita menyimpannya, dalam bot, kereta atau dalam beg pancing.

Di dalam stor, batang-batang joran bersandaran atau ‘beampaian’ tidak tersimpan pada raknya. Barang-barang terminal pula hanya disumbat-sumbatkan saja di dalam toolbox tidak tersusun rapi. Jika ‘diruah’ betul-betul baru terjumpa batu ladung, loceng pancing atau sepaket mata kail terselit di mana-mana.

Apabila melihatnya, timbul rasa insaf dalam sanubari untuk mengemas, tetapi baru saja 2-3 minit membelek-belek peralatan-peralatan tersebut tiba-tiba terasa ‘racun’ pula untuk turun memancing. Batang pancing digenggam, toolbox diangkat dan barang-barang yang bersepahan dibiarkan begitu sahaja.

“Karang saja memanyap lapas balik” hati membisikkan janji, atau lebih teruk lagi “esok saja, ngalih ku hari ani”, namun kebenarannya adakah janji akan tertunai atau janji hanya tinggal janji? Wallahualam.

Sama ada disimpan di dalam laci-laci kecil atau kontena-kontena yang ditandakan menggunakan pen marker, anda hanya cuma tinggal pilih saja lagi yang mana hendak dimasukkan ke dalam toolbox untuk dibawa. – Agensi

Peralatan yang tersusun rapi sebenarnya merupakan antara salah satu rahsia untuk menjadi seorang pemancing yang berjaya. Ia membantu kita untuk lebih senang mengatur strategi dan membuat keputusan.

Secara logiknya apa yang kita tidak lihat dengan mata kepala sendiri, kemungkinannya untuk terlintas dalam fikiran adalah kecil.

Cuba bayangkan senario di mana anda telah membeli peralatan terminal bulan lalu, contohnya mata kail atau lure mengikut jenis atau saiz yang tertentu untuk digunakan ketika turun memancing di tempat yang jenis atau saiz tersebut lebih sesuai digunakan. Sebaik saja sampai ke rumah dari kedai, peralatan itu anda letakkan sahaja di atas rak atau dibiarkan tertimbus oleh peralatan-peralatan pancing yang lain.

Kemudian apabila anda turun memancing di tempat tersebut barulah tersedar benda itu tidak ada dalam toolbox yang dibawa atau sama sekali terlupa akan kewujudannya.

Nah pasti ramai yang pernah mengalami perkara sebegini kan? Setelah berhari-hari, berminggu-minggu atau berbulan-bulan baru tah “eh di sini rupanya ku menyimpan” atau “eh terdapat rupanya ku barang ani.”

Apabila setiap peralatan tersusun rapi mengikut kategori dan jenis-jenisnya, senanglah untuk membuat persediaan sebelum turun memancing kandila. Hendak turun memancing udang galah, ikan air tawar atau masin, hendak memancing bottom atau casting, barang-barangnya sudah tersedia di tempatnya masing-masing. Otak pun tidak kusut memikirkan “mana tia barang ku bali bulan lapas ani.”

Sama ada disimpan di dalam laci-laci kecil atau kontena-kontena yang ditandakan menggunakan pen marker, anda hanya cuma tinggal pilih saja lagi peralatan mana yang sesuai digunakan untuk spesies buruan dan keadaan padang pancing untuk trip seterusnya, berapa banyak yang diperlukan, dan lain-lain lagi.

Bukan sahaja toolbox yang anda bawa tidak dipenuhi peralatan-peralatan yang tidak akan digunakan, bahkan juga akan terasa lebih ringan kerana tidak membawa stok peralatan berlebihan dalam satu-satu trip.