Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peralihan EV membimbangkan pekerja industri kereta Perancis

    VOUZIERS – Ketika Perancis semakin menghampiri tarikh akhir tahun 2035 untuk menghentikan pengeluaran kereta enjin pembakaran baharu secara berperingkat, para pekerja dalam industri berkenaan juga bimbang hari-hari mereka mungkin semakin menghampiri penghujungnya juga.

    Walaupun terdapat banyak keyakinan di kawasan tertentu di Perancis, khususnya di utara negara di mana ‘Lembah Bateri’ muncul, pekerja di bahagian pembekal alat ganti di tempat lain berasa sebaliknya.

    Dengan penjualan kereta baharu dengan enjin petrol dan diesel dibenarkan hanya untuk tempoh 10 tahun lagi di Eropah, industri yang menggaji 200,000 orang di Perancis itu berdepan perubahan secara paksaan.

    “Peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) sebenarnya boleh dilakukan ketika Walor membeli kami tetapi mereka tidak melabur dalam peralihan tersebut,” kata Severine Person, pakar kawalan kualiti di kilang syarikat itu di bandar Vouziers di wilayah Ardennes, timur laut Perancis.

    Walor membeli kilang itu pada 2018. Pengeluaran rod penyambung untuk traktor dan trak tidak terancam oleh peralihan kepada EV, tetapi permintaan untuk transmission differential housing dan engine manifold berkemungkinan akan mengalami perubahan besar.

    Bodson bergambar di hadapan kilang Walor di Vouziers, timur laut Perancis, pada 17 Jun. – AFP
    Pekerja berehat di hadapan kilang Walor di Vouziers, timur laut Perancis, pada 17 Jun. – AFP
    Pekerja Stellantis dilatih untuk bekerja di kilang bateri Douvrin. – AFP
    Gambar bertarikh 17 Jun 2024 menunjukkan kilang Walor di Vouziers, timur laut Perancis. – AFP

    Walor telah dibeli tahun lepas oleh yayasan Jerman yang pakar dalam memulihkan firma yang menghadapi masalah dan kini sedang mencari pembeli untuk kilang di Vouziers dan satu lagi yang terletak berdekatan.

    “Sebelum ini, Citroen akan mengagihkan kerja kepada semua orang di Ardennes. Mereka tidak perlu pergi ke hujung dunia untuk mendapatkan alat ganti,” kata Bruno Bodson, seorang wakil syarikat dengan kesatuan sekerja CFDT.

    Person dan rakan-rakan sekerjanya berasa pasrah dengan kemungkinan kilang ini ditutup memandangkan pesanannya yang semakin berkurangan.

    Namun, suasana berbeza di utara negara di mana beberapa ‘kilang giga’ bateri sedang dibina, termasuk Syarikat Sel Automotif (ACC) di Douvrin.

    Usaha sama itu melibatkan pembuat kereta Stellantis dan Mercedes bersama syarikat gergasi minyak dan gas Perancis, TotalEnergies.

    ACC membina kilang bateri gergasinya di tapak kilang yang menghasilkan enjin untuk Stellantis, yang mempunyai jenama-jenama Perancis yang terkenal seperti Citroen dan Peugeot.

    Stellantis berkata lokasi tersebut dipilih bagi memenuhi ‘keperluan sosial’ untuk melatih semula pekerja kilang itu. Bilangan kakitangan telah berkurang daripada sekitar 5,000 pada 1980an kepada 700 orang hari ini.

    Di pusat latihan bateri usaha sama itu, pekerja Stellantis-Douvrin menerima latihan selama 12 minggu tentang cara mengawasi barisan pengeluaran yang sangat automatik di kilang bateri tersebut.

    PELUANG KE LUAR NEGARA

    Menurut Plateforme automobile (PFA), sebuah persatuan perdagangan yang menyatukan firma-firma dalam sektor ini, menjelang tahun 2026, kira-kira 17,000 pekerjaan akan diwujudkan di kilang-kilang giga yang membuat bateri dan kemudahan untuk mengitar semula bateri tersebut.

    Walaupun tujuannya adalah untuk merekrut secara besar-besaran pekerja daripada sektor itu, masih tidak jelas sama ada langkah ini akan mencukupi untuk mengelakkan ramai pekerja ditinggalkan tanpa sebarang pekerjaan.

    Kajian terkini yang dijalankan oleh industri logam Perancis pada tahun 2021 mendapati bahawa peralihan kepada EV mengancam 65,000 pekerjaan dalam sektor ini menjelang tahun 2030.

    Bernard Jullien, seorang ahli ekonomi dan penyelidik yang pakar dalam industri kereta Perancis, menjangkakan sebanyak 40,000 orang akan kehilangan pekerjaan dalam sektor alat ganti kereta dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang akibat peralihan daripada enjin bahan api petroleum kepada enjin elektrik.

    Kesan ini mungkin dapat dikurangkan oleh fakta bahawa ramai pekerja dalam industri ini hampir bersara.

    Ludovic Bouvier, pemimpin serantau kesatuan pekerja syarikat logam CGT, bimbang pengeluar kereta dan syarikat pembekal mereka akan mengikuti panduan industri keluli.

    Dengan industri ini menghadapi tekanan hebat untuk mengurangkan kos, “pengumuman oleh Eropah mengenai penamatan enjin pembakaran dalaman menjadi peluang bagi pengeluar untuk memindahkan pengeluaran mereka ke luar negara,” katanya.

    Bouvier terutamanya menumpukan kepada Stellantis, yang mengeluarkan hatchback elektrik Citroen baharunya untuk pasaran massa di Slovakia.

    Manakala Renault pula mengeluarkan hatchback R5 di Perancis.

    Kajian baru-baru ini oleh dua kumpulan iklim mendapati bahawa keperluan tenaga manusia yang lebih rendah untuk mengeluarkan EV mungkin memberikan kelebihan kepada pengeluaran kereta kecil di Eropah.

    Namun, bagi ahli ekonomi, Jullien, berkemungkinan besar elektrifikasi kereta akan disertai oleh lebih banyak pemindahan pengeluaran ke luar negara, menjadikan keseluruhan pekerjaan dalam industri automotif Perancis merosot kepada 100,000 atau lebih rendah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda